Sunday, November 27, 2011

Jadi Tukang Kebun Pon Apa Salahnya?

[Kredit]

Seorang kanak-kanak berfikir tentang kerjaya yang mahu diceburinya apabila dia sudah dewasa nanti. Di dalam kepalanya sudah terbayang pekerjaan-pekerjaan tipikal yang dirasakan akan memberikannya kepuasan dan keseronokan; pemandu lori kerana tampaknya sungguh macho, bomba kerana boleh menyelamatkan orang, juruterbang kerana boleh melancong, doktor kerana tiada siapa yang akan melawan cakapnya dan perdana menteri kerana itu adalah cita-cita hampir setiap kanak-kanak di seluruh dunia. 

Tapi dia betul-betul mahu meyakinkan dirinya; pekerjaan apakah yang paling mulia di dalam dunia ini. Kerana ibunya pernah menasihatinya, kalau dah besar nanti, pastikan kamu mencari pekerjaan yang mulia! Maka dia mengambil keputusan, selepas habis sekolah darjah tiganya nanti, dia mahu berjalan-jalan di sekitar bandar (sekolahnya berdekatan dengan sebuah kotaraya yang boleh tahan sofistikatednya) untuk bertanya dengan orang sekitar tentang pekerjaan yang patut diceburinya kelak.

Selepas bunyi loceng tanda tamatnya sesi persekolahan pada hari itu, dia terus bergegas keluar kerana tidak sabar-sabar untuk mengembara mencari jawapan kepada persoalannya itu. Tetapi sempat dia singgah membeli sate ikan dan ais krim roti yang dijual di tepi sekolah. 

Dia menahan bas bernombor dua puluh lapan yang akan berhenti betul-betul di pusat bandar nanti. Ketika menaiki bas, datang satu ilham kepadanya; Apa kata aku mulakan pengembaraan aku dengan bertanya kepada pak cik pemandu bas ni..? Dia tersenyum lebar, gembira dengan cadangan kepala hotaknya itu. 

"Pak cik pemandu bas. Boleh saya tanyakan satu soalan..?"

Pak cik pemandu bas itu sedikit hairan, tapi tersenyum apabila melihatkan kanak-kanak itu benar-benar ikhlas dengan permintaanya.

"Sudah tentu anakku. Silakan.."

"Pak cik, di dalam dunia ni, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Si pak cik berkerut, terkejut agaknya dengan soalan anak kecil itu. Tetapi dia kemudiannya tersenyum, dan menjawab dengan penuh yakin.

"Sudah tentulah pemandu bas, wahai anakku. Kalau tiada pemandu bas seperti pak cik, sudah tentu kamu, Mak Cik Saodah Sulaiman Sireh, Ah Long Siau dan Rajagobal Singh tidak dapat hendak ke mana-mana. Tanpa pemandu bas seperti pak cik yang memandu bas dan siang malam tanpa henti, sudah tentu ramai yang terkandas tidak dapat berbuat apa-apa."

Pak cik pemandu bas tersenyum, berpuas hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu juga tersenyum mendengar jawapan pak cik pemandu bas itu.

Tiba di pusat bandar, selepas mengucapkan terima kasih kepada pak cik pemandu bas, kanak-kanak itu berjalan-jalan mencari 'mangsa' yang seterusnya. Dia ternampak seorang pegawai polis wanita yang sedang meronda. Dia lantas menuju ke arah pegawai polis itu untuk bertanyakan kepadanya.

"Puan, boleh saya bertanyakan sesuatu?"

"Oh sudah tentu. Adik sesat jalankah..?"

"Oh bukan. Saya ingin bertanya kepada puan, di dalam dunia ini, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Pegawai polis itu sedikit kaget dengan soalan itu, langsung tidak menyangka itulah soalan yang akan ditanya. Tetapi dia kemudiannya tersenyuum.

"Sudah tentulah pegawai polis adik. Kalau tiada pegawai polis macam kakak ni, sudah tentu kacau-bilau bandar ni. Sudah tentu akan ramai penjenayah dan kutu berahak berkeliaran membuat kekacauan. Kalau tidak ada pegawai polis macam kakak yang telus dan amanah dalam menjalankan tugas, pasti adik sekarang ni sentiasa hidup dalam ketakutan!"

Pegawai polis wanita itu tersenyum, yakin kanak-kanak itu pasti berpuas-hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis wanita tersebut.

Masih tidak berpuas-hati, kanak-kanak itu berjalan lagi. Dia mencari-cari kalau-kalau ada sesiapa yang tampaknya sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Tiba-tiba dia ternampak sebuah klinik di seberang jalan; 'Klinik Liza Salmoneli dan Surgeri.' Pasti Puan Doktor mempunyai jawapan yang memuaskan untuk aku. Doktor kan bijak lagi pandai!

Lantas setelah memandang kiri dan kanan, kemudian memandang kiri dan kanan sekali lagi, setelah yakin selamat untuk melintas, kanak-kanak itu berlari-lari anak (sesuai dengan saiz kakinya) untuk melintas jalan. Dia masuk ke dalam klinik dan mendaftarkan dirinya. Mujurlah kakak yang menjaga kaunter pendaftaran tidak mengesyaki apa-apa. Atau mungkin juga dia sedang sibuk berMukaBuku.

Setelah namanya dipanggil, dia masuk ke dalam bilik bernombor satu dan tertulis 'Dr. Salmiah Buang.' Puan Doktor tersenyum apabila melihat seorang kanak-kanak comel yang memasuki bilik rawatannya.

"Ya anakku. Bagaimana doktor boleh membantu anda..?"

"Doktor, saya datang ni bukan untuk mendapatkan rawatan. Tapi saya nak bertanyakan satu soalan. Bolehkah..?"

Puan Doktor menggaru tudungnya, kerana langsung tidak menyangka itu tujuan kanak-kanak itu ke kliniknya. Tetapi kemudian dia lantas tersenyum; terasa kejam pula sekiranya dia menolak permintaan kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Cuma jangan tanya doktor soalan matematik sudahlah. Dah lama doktor tak buat latihan tambah tolak, darab bahagi!"

Oh, jangan risau doktor. Semua kerja rumah matematik saya, telah saya siapkan. Begini doktor. Saya tertanya-tanya, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini..?"

Puan Doktor terkedu sebentar. Biar betul anak kecil ini. Dia cuba menyembunyikan perasaan terkejutnya dengan mengukir sekuntum senyuman sambil berkata:

"Oh itu mudah sahaja anakku. Takkanlah anak tidak tahu, doktorlah pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia ini. Tanpa profesion ini, sudah tentu ramai yang akan mati sakit kerana tidak dirawat dengan segera. Jika tidak kerana doktor yang bertungkus-lumus bekerja seperti saya ini, sudah pasti banyak ibu-ibu yang mati ketika bersalin, ramai yang sakit perut kerana cirit-birit yang tidak dirawati dan ramai yang tergaru sana sini kerana kudis yang dibiarkan merebak! Nah, bukankah doktor pekerjaan yang paling mulia..?"

Kanak-kanak itu hanya mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum. Puan Doktor tersenyum melihatkan kanak-kanak itu; sangkanya sudah pasti si anak kecil yakin dengan jawapannya itu.

"Terima kasih, doktor."

"Sama-sama anakku."

Kanak-kanak itu pergi meninggalkan klinik sambil menghisap lolipop yang diberikan oleh Puan Doktor. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya, walaupon sudah ditanyakan kepada pak cik pemandu bas, pegawai polis wanita dan Puan Doktor.

Arakian dia pon berjalan-jalan lagi, mencari-cari calon yang sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Sekiranya dia ternampak atau terserempak dengan mana-mana lelaki atau wanita yang tampaknya seperti bekerjaya, dia pasti akan berjumpa dengan mereka dan bertanyakan soalan yang sama setiap masa; pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia?

Setiap orang yang dijumpainya pasti akan memberikan jawapan yang hampir serupa; bahawanya pekerjaan merekalah yang paling mulia. Akan diberikan pelbagai alasan dan jawapan untuk menyokong kenyataan mereka itu. Dan semua daripada mereka yang memberikan jawapan tampak puas dan yakin dengan jawapan mereka itu. 

Tetapi kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya. Baik juruterbang yang dia terserempak sedang menikmati teh tarik di sebuah warung mamak atau tuan hakim yang arif lagi bijaksana, yang ditemuinya sedang membeli kad pra-bayar untuk menambah nilai telefon bimbitnya. Kalau begitu, aku kena jadi semuakah..? Sebab semuanya mulia..? Adoyai. 

Sehinggalah dia pulang ke sekolahnya semula dengan menaiki bas bernombor dua puluh lapan jua. Dia menceritakan apa yang ditemui dan didengarinya sepanjang pengembaraan mininya itu kepada salah seorang gurunya yang ditemui di kawasan perkarangan sekolah.

"Haha.. Patutlah kamu tidak berpuas hati. Jawapan yang mereka berikan semuanya salah. Kamu tahu apa pekerjaan yang paling mulia di dunia..?"

"Apa dia cikgu?"

"Kerjaya sebagai seorang gurulah! Tanpa seorang guru, tidak mungkin ada juruterbang, peguamcara dan peguambela, doktor gigi, jurutera petroleum dan semua semua itu! Tanpa ada orang seperti saya, yang ibaratnya lilin yang membakar diri demi menerangkan kawasan sekitarnya, tidak mungkin anak bangsa akan terdidik, menjadi orang-orang yang mulia..! Maka, pastilah guru itu yang lebih mulia, kerana berjaya melahirkan insan-insan yang mulia!"

Guru tersebut tersenyum puas sambil mengangkat tangan kanannya dan membuat gaya Otromen Daina sebagai tanda dia telah menjawab soalan anak didiknya itu dengan sebaik-baiknya. Kelihatan butir-butir peluh kecil terbentuk pada dahi kanak-kanak itu.

Walaupun jawapan gurunya itu seperti benar dan meyakinkan, namun kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati. Dia merasakan tiada lagi jawapan yang benar-benar menenangkan hati dan perasaannya. Dia lantas duduk termenung di gazebo berdekatan dengan padang sekolah, sedang merumuskan dan cuba untuk membuat kesimpulan daripada jawapan-jawapan yang diterimanya.

"Kenapa ni nak..? Pak cik nampak daripada tadi anak macam susah hati je..?"

Kanak-kanak itu tersentak daripada lamunannya. Pak Cik Mukhlis Ihsan, tukang kebun sekolah menegurnya. Kanak-kanak itu tersenyum; pertama kerana tidak sangka ada orang yang mengambi berat tentang dirinya dan kedua kerana dia memang suka melihat Pak Cik Mukhlis Ihsan - wajahnya sentiasa ceria dan putih bercahaya. 

"Takde apa pak cik. Saya cuma ada satu soalan yang sehingga kini saya masih belum ketemu jawapannya. Err, pak cik nak dengar?"

Pak Cik Mukhlis Ihsan tersenyum mesra mendengarkan permintaan anak kecil itu. Dia lantas duduk di sebelah kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Dan kalau pak cik boleh jawab, pak cik akan cuba jawab."

"Begini pak cik. Saya sudah bertanyakan soalan ini kepada begitu ramai orang, tapi jawapan mereka semuanya sama. Saya tanyakan kepada mereka, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini. Dan tiada sebab lain saya bertanyakan soalan itu melainkan kerana saya mahu bekerja dengan pekerjaan yang paling mulia di dunia ini apabila saya sudah dewasa kelak!"

"Jadi? Apa jawapan yang kamu terima?"

"Itulah. Semuanya pun mengatakan yang pekerjaan mereka yang paling mulia. Dan semuanya ada alasan dan hujah masing-masing yang boleh diterima. Maka kini saya tidak pasti lagi pak cik; sama ada saya patut menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, tukang masak atau seorang guru!"

"Hahaha.. Begitu. Hhhmm, kamu mahu mendengar jawapan pak cik pula..?"

"Pastilah! Tapi... Adakah pak cik akan mengatakan juga yang menjadi tukang kebun itu pekerjaan yang paling mulia..? Kerana tanpa tukang kebun macam pak cik, pastilah sekolah tidak terjaga dan ceria..?"

"Hahaha.. Tidak anakku. Itu bukan jawapan pak cik. Kamu betul-betul mahu tahu apakah itu pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia..? Malah di seluruh alam semesta adanya juga..?"

"Wah! Sudah tentu sudah tentu! Apakah itu pekerjaan yang paling mulia pak cik..?? Cepat cepat, tolong beritahu saya!"

"Pekerjaan yang paling mulia, anakku.. Adalah apa-apa pekerjaan yang dilakukan ikhlas dan ihsan keranaNya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan untuk berbangga-bangga. Dan bukan juga untuk mengejar dunia. Tetapi pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya. Pekerjaan yang dilakukan untuk mencari rezeki yang halal dan ada berkatnya.

Dan yang lebih utama, pekerjaan yang paling mulia itu adalah pekerjaan yang mendatangkan manfaat dan faedah bukan sahaja kepada diri si pekerja itu, tetapi juga kepada orang di sekitarnya. Dia bekerja bukan untuk dirinya, tetapi memberi khidmat setia kepada orang ramai tanpa dipinta. Tidaklah dia melalui sesuatu tempat itu melainkan dia meninggalkan mutiara dan permata yang berharga jua."

"... Jadi.. Pekerjaan seperti pak cik, menjadi tukang kebun pun boleh jadi pekerjaan yang paling mulia..?

"Hahaha.. Pekerjaan seperti pak cik ini tidak ada apa-apa anakku. Pak cik hanyalah seorang insan hina yang biasa, yang tinggal di duniaNya mengharapkan belas ihsanNya. Pak cik hanyalah seorang manusia dina, yang setiap hari bergantung harap padaNya..."

Pak Cik Mukhlis Ihsan menghadiahkan senyuman mesra kasih-sayang kepada kanak-kanak itu, bingkas bangun dan menyambung melakukan kerja-kerjanya. Kanak-kanak itu terdiam dan berfikir sejenak, menghadam kata-kata Pak Cik Mukhlis Ihsan.

Dia kemudiannya lantas bangun, terukir senyuman puas pada bibirnya. Matanya bersinar-sinar terang, bersih dan penuh keyakinan.

Ya, aku sudah tahu apa yang aku nak jadi nanti!

-gabbana-

Salam tahun baru 1433H buat semua pembaca APG. Umur kita sudah meningkat, umur dunia juga sudah semakin tua. Kita tidak punya banyak masa lagi untuk mengejar keredhaaNya yang hakiki, tahu...??




seriously, credit to Gabbana!




ingat, benda kecil kalau ikhlas, itulah yang paling baik di sisi ALLAH :) 

Wednesday, November 16, 2011

ISLAMIC SUMMER CAMP G5!

Assalamu'alaikum WBT

Untuk makluman muslimin dan muslimat, ahli-ahli Kelab Remaja Ukhuwwah dan sesiapa yang berminat untuk mengisi waktu cuti sekolah dengan aktiviti bermanfaat.

Persatuan Siswazah Sabah akan menganjurkan sebuah kem outdoor iaitu Islamic Summer Camp(ISC) untuk kali yang ke-5 seperti butiran yang berikut:

Tarikh: 16-18 Disemberr 2011
Tempat: KK Adventure Park
Yuran: RM30

Terbuka kepada semua remaja yg berusia 15-19 tahun. Terdapat pelbagai pengisian yang menarik menanti anda seperti aktiviti pembinaan jati diri, kepimpinan dan kepentingan berdakwah yang melibatkan fizikal dan rohani.

Tempat program menyediakan prasarana untuk pelbagai aktiviti yg cukup menyeronokkan seperti, kayak, flying fox, wall climbing, permainan tepi pantai dan lain-lain.

Penyertaan TERHAD kepada 100 orang peserta (Ahli KRU sahaja) yang terawal sahaja. Nama akan dimasukkan selepas pembayaran RM30 dilakukan. Boleh terus menghubungi saya, saudari Insyirah di talian 013-5509496 ataupun saudari emaliza di talian 013-5550516 untuk pendaftaran dan keterangan lanjut.

Boleh melayari laman http://d-kru.blogspot.com/2010/12/islamic-summer-camp-2010.html untuk melihat laporan aktiviti ISC yang sudah pernah diadakan sebelum ini 

Jom ajak teman-teman! Cepat-cepat sebelum terlepas!


Jom! Ikut ISC 2011!

NOTA:
  • Peserta perlu membayar yuran RM 30 sebelum program bermula kepada urusetia
  • Hanya peserta yang disenaraikan sahaja layak mengikuti program
  • Sebarang soalan dan masalah hubungi nombor yang disediakan
  • Hubungi Sdra Zulhimey (013-7143840) atau Sdri Emaliza (013-5550516) untuk pendaftaran.
  • Layari http://on.fb.me/sFG8YW untuk maklumat lanjut dan terkini.

Testimonials Mantan Peserta ISC

Nurul Insyirah binti Sunoto (ISC Generasi Pertama, G.1)
Mahasiswi Mujamma’ Fatah Islami, Dimasyq, Syria 


“Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai ISC Kali Pertama di Kg. Teraiyung, Tuaran pada tahun 2007. Program ini memberikan sentuhan pengisian yang baik kepada pembangunan para remaja sama ada dari sudut luaran mahupun spiritual. Kepelbagaian aktiviti yang disediakan menjurus kepada kepimpinan, dakwah, dan berorganisasi mampu memberikan impak dinamik kepada para peserta. Bahkan, modul-modul yang disediakan juga mencambahkan ikatan ukhuwwah dan seterusnya memupuk kerjasama di antara peserta program. Melalui program inilah saya mula mula berjinak-jinak menembusi arena dakwah setelah diberi kefahaman akan kewajipan dan kepentingannya. Justeru, program ISC inilah titik tolak bermulanya saya menanam azam mendalami ilmu agama untuk membantu mengembangkan Islam dalam kalangan masyarakat Sabah khususnya dan mengajar saya erti sebuah kehidupan”.


Mohd Shahfieq bin Sabdin (ISC Generasi Kedua, G.2)
Mahasiswa Uni. Malaysia Sabah
“Alhamdulillah. Rentetan daripada menyertai KRIS (AJK) & KRC (Peserta), saya dapat mengaplikasikan semua teori dan ilmu dalam program ISC ini. Terjun ke dalam masyarakat, itu yang boleh disimpulkan dalam segenap aktiviti ISC. Melihat keadaan dan ‘sakit’nya masyarakat mampu membuahkan kesedaran kepada peserta. Bagi saya, ini merupakan satu program yang sangat baik dari segi konsep, modus operandi dan praktikalnya”.


Mohd Fazrin (ISC Generasi Ketiga, G.3)
Mahasiswa Uni. Tun Abdul Razak
“Pengalaman sebagai peserta ISC sangat menyeronokkan. Kuliah Dasar yang disampaikan telah membuka minda saya. Saya sangat berharap agar program seperti ini dapat dijalankan terutamanya untuk pelajar peringkat universiti selain untuk pelajar sekolah menengah. Ini kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang leka dan tidak sedar akan tuntutan dakwah khasnya di Sabah”.


Ummul Izzatin Mardiah binti A. Ghaffar (ISC Generasi Keempat, G.4)
Mahasiswi Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
“ISC merupakan satu program yang mana ia mempunyai kelainannya yang tersendiri daripada program-program yang lain. Dari sudut pengisian yang dibawa serta pendekatan da’wah yang lebih mendalam serta mudah difahami diketengahkan serta diperkenalkan kepada peserta. Rentetan itu, ia membuatkan jiwa-jiwa yang masih mentah mudah dilentur dari awal lagi supaya bisa mereka membesar segar di dalam tarbiyyah Islam dari masa ke semasa dalam keadaan dunia kini yang makin mencabar”.


Voon Hai Ming (ISC Generasi Keempat, G.4)
Mahasiswa Uni. Malaysia Sabah
‘Peserta Non-Muslim’.
“Program ini dapat mengukuhkan aqidah seseorang muslim. Teruskan usaha dalam mengIslamkan kehidupan”.



NOTA:
  • Peserta perlu membayar yuran RM 30 sebelum program bermula kepada urusetia
  • Hanya peserta yang disenaraikan sahaja layak mengikuti program
  • Sebarang soalan dan masalah hubungi nombor yang disediakan
  • Hubungi Sdra Zulhimey (013-7143840 begin_of_the_skype_highlighting            013-7143840      end_of_the_skype_highlighting) atau Sdri Emaliza (013-5550516 begin_of_the_skype_highlighting            013-5550516      end_of_the_skype_highlighting) untuk pendaftaran.
  • Layari http://on.fb.me/sFG8YW untuk maklumat lanjut dan terkini.

 

Saturday, November 5, 2011

Erti Hidup Pada Memberi.

Semakin meningkat usia, semakin banyak perkara yang kita pelajari. kadang-kadang pelajaran yang Allah beri boleh jadi secara langsung atau tidak langsung. Contohnya, ketika kita sedang melakukan proses pengiraan subjek matematik di dalam kelas, ada cikgu atau kawan-kawan yang akan menegur kita sekiranya berlaku kesilapan di dalam pengiraan tersebut. Itu merupakan teguran daripada ALLAH yang diberikan secara langsung.

Namun, ada beberapa perkara yang mengambil masa bertahun-tahun untuk difahami. Ya, bertahun-tahun. Itu merupakan soal kehidupan. Mak yang ajar. Dan sekarang saya faham.

Mak. Sudi Binti Mansyur.


#Scene 1

Mak : Pegi beli ikan di luar.
Saya : Hah? sekarang? 
Mak : iya.. kenapa?
Saya : oh, ndak.. sapa yang mau makan ikan?
Mak : Tu, kucing.. Belum lagi makan.

Dulu saya tidak faham, kenapa perlu beri kucing makan, sedangkan kita sendiri tidak cukup makan. Pernah suatu ketika tiada langsung makanan tengah hari. Mak cakap, "tiada benda yang boleh dimasak". Lalu ketika itu saya semakin hairan, kenapa perlu kita beri kucing makan. Namun hari ini saya tahu akan jawapannya, kerana, erti hidup itu pada memberi.


#Scene 2

Bila mak dapat bayaran gaji yang pertama, mak bagi RM10 untuk jiran sebelah. Saya hairan dan marah, kenapa perlu bagi orang, sedangkan kita juga masih terkial-kial untuk sesuap nasi. Kenapa perlu bagi orang sedangkan kita sendiri masih berlapar. 
Itu fikiranku suatu ketika dulu. Namun hari ini saya semakin mengerti soal kehidupan. Saya belajar dari mak. Saya semakin faham akan tindakan mak. Kerana mak tahu, erti hidup itu pada memberi.



#Scene 3

Malam takbir Hari Raya Korban. Kami masih bertungkus lumus menyiapkan juadah raya, sedang jam sudah menujukkan jam 1 pagi. Mata semakin mengantuk, badan semakin letih. Kakak, adik kembar, semua sudah tewas. Tinggal saya dan adik lelaki terdiam kepenatan sambil mencuci ayam. Ikutkan hati, mahu sahaja saya tinggalkan kerja itu dan pergi berehat. Tetapi, melihatkan mak yang masih bekerja, kami gagahi juga. Seusai mencuci ayam, mak akhirnya memecah kesunyian.

Mak : Pegi la kamu naik, habis juga suda kerja.

Ketika dan waktu itu, dapur masih berselerak. Belum dikemas.
Oleh kerana terlalu keletihan kami pergi meninggalkan mak yang masih menguruskan makanan di dapur. Saya befikir, kenapa mak izinkan kami untuk berehat sedangkan kerja yang perlu dilakukan itu masih banyak. Lalu jawapannya tetap sama, kerana mak tahu dan faham bahawa erti hidup itu pada memberi.



#Scene 4

Hazizul Hakim.
Makanan kegemaran -  Jagung Rebus.

Ryhanna Allysa.
Hobi - Ber 'make up'.

Bila cuti semester bermula, saya hairan kenapa ada anak jiran di rumah. Ryhanna Allysa dan Hazizul Hakim. Diskusi bersama mak menjelaskan, ibu bapanya pergi bekerja dan minta pertolongan untuk dijaga. Ketika itu saya sedikit tidak berpuas hati, kenapa perlu diterima tawaran ini, sedangkan jahitan yang perlu disiapkan masih banyak. Kerja-kerja rumah juga kita masih tidak menang tangan. 
Dan hari ini saya semakin faham. Kerana mak faham bahawa erti hidup itu pada memberi. Saya juga semakin faham.



Dan kerana kefahaman yang ada pada mak itu, hari ini, walaupun kita orang susah, tetapi hidup kita tidak meminta. Dan perkara inilah yang saya mengambil masa bertahun-tahun untuk memahaminya. Hari ini saya semakin faham bahawa erti hidup ini adalah pada memberi, berkongsi dan berkorban.



kerana mungkin mak faham akan hadis Rasulullah ini.

Baginda s.a.w. bersabda: 


"Sesungguhnya berita yang akan disampaikan oleh bumi ialah bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, sama ada lelaki ataupun perempuan terhadap apa yang mereka lakukan di atasnya. Bumi akan berkata: Dia telah melakukan itu dan ini pada hari itu dan ini. Itulah berita yang akan diberitahu oleh bumi." (Hadis riwayat Imam Tirmizi). 



Tuesday, November 1, 2011

Pelajar UiTM dinasihat henti tulis tentang Aziz Bari

Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dipanggil pihak pentadbiran universiti itu semalam berkaitan tulisan dalam blognya yang "menghentam" Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berhubung isu penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

NONEKhalid Mohd Ismath dipanggil oleh timbalan dekan hal ehwal pelajar UiTM tengahari semalam, yang "menasihatkannya" supaya berhenti menulis tentang isu Abdul Aziz dan tidak lagi menghentam pentadbiran UIA.

Khalid (kiri) adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

"Pihak atasan sudah tahu mengenai perkara ini. Mereka tengah berbincang mengenai tulisan Khalid (itu)," kata sumber yang rapat dengan Khalid.

Menurut sumber itu, dalam tulisan dalam blognya, Khalid menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai adalah tidak patut dan mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantahnya Selasa lalu.

Sebelum itu, ratusan pelajar universiti tempatan mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di UIA membantah penggantungan Dr Aziz Bari.
Bagaimanapun, kira-kira 50 aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menukar rancangan untuk berdemonstrasi itu, dengan mengadakan protes secara senyap.

Perkataan 'kurang enak'
Mereka berhimpun di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".
Menurut sumber lagi, Khalid dikatakan menggunakan perkataan yang "kurang enak" terhadap pentadbiran UIA.

azlanSusulan perjumpaan tersebut, sumber berkenaan berkata Khalid akur dengan arahan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang meminta beliau membuang tulisan tersebut.
UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti".
Beliau diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya.

Ia berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.
Isnin lalu, pihak pentadbiran UIA telah menarik balik penggantungan pakar perlembagaan itu sebagai pensyarahnya berkuatkuasa serta-merta.

Abdul Rahim Sabri
12:32PM Okt 28, 2011

sumber malaysiakini.



Tahniah akh! Ujian ALLAH tanda kasih sayang.