Sunday, January 28, 2018

Migrasi Kutu // Abul M. Salleh




"Hidup itu aku, kau dan kita. Menikmati hidup itu hidupan. Hidup bukanlah satu pilihan tetapi pilihan dalam menjalani kehidupan. Memilih untuk menikmati atau meratapi. Aku lebih memilih untuk menikmati dalam mencari. Mencari di dalam migrasi."


Buku ini genre travelog. Kisah anak muda yang hidup dalam dunia metropolitan. Menurutku, kiranya aku tidak membaca ini mana mungkin aku melihat sisi luar biasa bandar Kuala Lumpur. Sisi yang jarang diceritakan kebanyakan penghuninya.

Menurutku, ada sekian banyak hal yang sedikit sekali diceritakan pada kebanyakan orang tetapi sedikit hal itulah yang membentuk sekian banyak peribadi manusia. Habis membaca naskah ini, maka tahu benarlah seperit apa sisi hidup kebanyakan orang yang tampak mewah di kota metropolitan. Tak ramai yang berjaya mengharungi luar biasanya budaya hidup di bandar melainkan mereka yang punya keazaman luar biasa.

Naskah ini secara tidak langsung membuktikan, tak semua yang mampu bertahan. Bahkan tak semua mampu hadir dan membekas rasa.

-------

Secara kalkulatifnya, ini kali kedua saya mengulang baca setelah kali pertama saya membaca naskah ini ketika masih dalam bentuk manuskrip.

Kali pertama saya membaca sebagai seorang teman. Bacaan kali kedua, saya membaca sebagai seorang pembaca.

Teringat saya suatu ketika selepas habis membaca ini versi manuskrip, saya menyatakan,

 'Kalau penerbit tiada respon, jom kita bukukan ini.

Tak mengambil masa yang lama, manuskrip beliau edit sehingga juling. Susunan format semua dibuat secara manual. Malam itu juga, beliau meminta quotation harga dari rumah cetak.

Selang beberapa minggu, segalanya siap di hantar dan hanya menunggu proses cetakan. Hah. Meski tak banyak membantu, aku juga merasakan debaran rupa apakah buku ini dalam bentuk fizikal.

2 tahun, manuskrip ini tersimpan tanpa terusik. Maka aku kira, sejumlah apa pun harga buku tak kan mampu membayar lelah dan sabarnya beliau dalam mendepan hidup.

Sekian lama saya mengambil masa untuk menukilkan ini. Selama itu jugalah saya melihat ini ada suatu usaha mewujudkan mimpi. Mimpi dan angan yang suatu ketika hanya berkubur di kotak fikir. Hari ini, beliau menyatakan kepuasan setelah memegang sendiri buku yang dicetak sendiri tanpa sokongan mana-mana pihak.

Pesanku pada beliau ketika dulu, 'Kalau pun tak mahu dicetak untuk di jual, cetaklah satu salinam untuk simpanan peribadi.'


------
Teman-teman pembaca, buku ini tiada dalam senarai goodreads. Tidak terjual pada mana-mana kedai buku. Maka kiranya siapa yang berminat untuk mendapatkan ini boleh lah berhubung dengan saya secara langsung.

Oh. Satu hal lagi, tak usah menyusahkan diri dengan mencari penulis ini lewat media sosial kerana beliau tak punya FB mahupun Instagram. Kerena beliau lebih senang begitu, hidup sebagai kutu yang tak di kenal sesiapa.


Kiranya mungkin penulis membaca ini, beliau pasti mengatakan aku ini lewah dalam memberi rasa. Tapi menurutku, tak mengapalah untuk kali ini, setimpallah dengan segala kesusahan mu ketika dulu.


Abul, Tetaplah hidup mewujud mimpi!