Sunday, May 26, 2019

Leomag, Waffle.

Catatan ini ditulis pada 21 Mei 2019. 

Sejak hari pertama event bermula di Tesco Taiping ini, aku sudah meletak azam. Waffle Leomag mesti aku beli. Dalam kebanyakan waffle yang pernah aku rasa Leomag ini sedikit berbeza. Pokoknya sedap. Rangupnya cukup. 

Tapi itulah, Hasnidar selalu saja berkira kira dalam semua hal. Hari ini sudah hari ke-15. Masih juga belum ku beli. Event di bulan puasa dalam mode setempat ini tidaklah terlalu meletihkan. Bahkan membosankan. Tapi tidak mengapalah. 

Oh waffle itu. Ketika menulis ini masih saja aku berkira-kira mahu membeli atau tidak. Ikut kata perut memanglah beli. Tapi, untuk sekeping waffle saja, ada banyak yang aku pertimbangkan. 

Hari ke-15. Setiap hari, makanan berbuka ku sama saja. Nasi campur. Tapi itu tidak terjadi pada 4 lagi teman berbuka ku. Hari ini McDonald, kelmarin baru saja meratah Subway. Hari sebelumnya, bertekak kan KFC. Teruja juga aku melihat mereka makan. Duduk makan beramai-ramai, makanan aku saja yang berbeza. Hari ini aku ditanya, harga makanan. 

'RM 6.20' 

Bertekak-kan makanan Thailand sebagai menu berbuka. 


Kadang aku berfikir apalah saja yang aku kirakan sampai teragak-agak mahu membeli sekeping waffle yang suda berhari-hari aku menanam hasrat untuk membelinya. Hari ini usai sembahyang Maghrib, aku mengira baki duitku. Baki duit makan berbuka tadi ada RM3.80. Cukup-cukup untuk sekeping waffle berharga RM3.70.

Tapi hari ini entah dari mana aku mendapat lintasan, 'Janganlah beli. Orang lain pun ada benda nak makan, tapi tahan sebab ada benda lagi penting, bukan aku saja.' 

Maka aku berlalu. Menutup mata rapat-rapat. Setiap hari kami dibekalkan RM30 sebagai elaun makan. Aku menghadkan kouta penggunaan duit. RM10 sahaja untuk sahur dan berbuka. Bakinya aku simpan untuk kegunaan masa perlu. Kadang aku tersasar juga dek kerana berat mahu menolak pelawaan teman-teman. Ah. Biarlah. Asalkan mereka tidak bermasam muka. 


Hari ini, aku menyambung tulis catatan ini, 26 Mei. Sehingga ke hari ini, waffle tak juga aku beli mengenangkan komitmen ku yang lebih perlu. Aku memujuk hati, tak mengapalah. Ada lagi yang lebih perlu. 

Dari sekeping waffle ini, aku belajar menguruskan kehendak diri. 


Leomag waffle, terima kasih.