Friday, December 9, 2011

Mendasari Ukhuwwah Dengan Keimanan

Surau di puncak bukit itu menggamit seribu nostalgia. Di situlah kami belajar bertatih. Adakalanya terjatuh, adakalanya terluka. Juga pernah hampir berputus asa di jalan yang tidak rata itu, berlopak, berduri, penuh halangan. Nostalgia sakit zaman remaja namanya.

Di situ jugalah hati-hati mula tertaut. Tempat hadirnya tangan-tangan yang membalut luka, memapah untuk sama-sama melangkah. Hingga akhirnya sama-sama bangkit semula. Bersendel bahu saling bantu-membantu. Ini dikatakan persahabatan. Umpama perisai segala bencana.

"Kita tidak memerlukan seseorang yang sempurna untuk dijadikan teman. Tetapi kita memerlukan seorang teman yang membuatkan kita berasa sempurna apabila mengenalinya"

Fizikal surau yang dibina sudah bertahun-tahun ini banyak yang sudah berubah, berwajah baru dan semakin ceria. Alhamdulillah surau ini masih terjaga, walaupun generasi demi generasi sudah silih berganti. Sungguhpun generasi kami sudah berlalu hampir 5 tahun.

Lihat surau di belakang itu. Masih tersergam indah. Ini di antara waktu-waktu terakhir sebelum menamatkan zaman remaja di alam persekolahan. Bersama Kak Nadiah yang banyak mengajar erti kesabaran dan pengorbanan. Tidak jemu mentarbiyyah jiwa-jiwa kosong ini agar rantai-rantai ukhuwwah yang terbina bersalut panji-panji dakwah.

Mengikat Hati dengan Hati.

Itulah yang kami diajar. Hingga tercetus tanggungjawab untuk melahirkan pejuang-pejuang Islam yang ditaut dengan hati. Hanya hati yang mampu menawan hati. Dari hati akan sampai kepada hati. Perlu berhati-hati membawa hati. Hati dan hati hanya mampu disatukan melalui ukhuwwah. Ukhwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafi, setia kawan, dan sikap mulia lainnya. Tidak akan ada ukhwwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.
Sebentar tadi bersama-sama kami berkumpul dan menyaksikan sebuah lagi ukhuwwah yang terbina atas dasar kasih kepada Pencipta. Rentetan dari usaha-usaha murni yang mahu berkongsi rasa berkasih sayang kerana Allah. Hanya Allah yang berkuasa menyentuh hati-hati manusia. Berkuasa menghimpunkannya. Mudah juga untuk membolak-balikkannya.

Dalam kisah mereka, masih banyak liku yang menanti untuk diceritakan pada masa hadapan. Watak-watak sudah nyata, konflik masih ada yang belum tertera. Masa terus berputar mencoretkan kisah-kisah baru, sama-sama kami dan mereka mengharapkan rantaian ukhuwwah yang terbina tidak putus di tengah jalan. Biar kekal hingga ke syurga.

Bertemu dan Berpisah kerana Allah.

Halaqah gabungan sebelum adik-adik Basyirah03 dan Ikhwanul Solihin01 menduduki SPM sebentar tadi menutup tirai usrah untuk sesi 2011. Bukan bermakna ditutup untuk selama-lamanya. Muka surat baru akan dibuka setelah semua menamatkan zaman sekolah menengah. Cabaran demi cabaran baru akan datang silih berganti selepas ini.

Tadi sempat mereka mengutarakan rancangan selepas SPM. Pastinya selepas ini masing-masing akan sibuk dengan komitmen lain. Banyak kekangan untuk berhimpun mengisi rohani walaupun seminggu sekali. Saya doakan agar adik-adik ini akan membesar dewasa dalam landasan yang tepat. Jika ditemukan atas dasar keimanan, berpisah juga seharusnya di atas dasar yang sama. Perlu sentiasa mencari dan ternanti-nanti sesiapa yang sudi melorongkan cahaya buat diri.

Bittaufiq Wannajah fil imtihan adik-adikku.
Semoga impian-impian yang baik menjadi kenyataan.

~Selamat ulang tahun kelahiran adik Hashemi Hashim~




Terima kasih Ninja.
written by Ninja Yuyu!

Sunday, December 4, 2011

Al-Fatihah buatmu Ilman Elani

Kematian, tidak mengenal usia mahupun darjat. Kematian hampir dengan kita, memerhatikan kita setiap masa. Tanpa pun kematian itu memberi peluang untuk kita sedia atau membuka ruang untuk kita menyelesaikan semua masalah dunia hatta mahu menghabiskan sisa usia dengan pekerjaan kita ataupun dengan pembelajaran kita. 

"Mati syahid pada perjuangan fisabilillah, bumi Irbid, Jordan, sekitar jam 3.30 petang hari ini 03 Disember 2011"

Saudaraku, Ilham Eilani, walaupun tidak rapat tetapi semua tahu bahawa beliau merupakan seorang yang baik  , hati dan mudah mesra, berasal dari sabah, hanya kenal dari wajah dan teman satu facebook, kali terakhir berjumpa dengannya adalah di Abel Syimal.. Seperti umum, apabila melayu bertemu melayu, satu senyuman dilemparkan.. dan itulah senyuman terkahir dia buatku.

Pelajar tahun 3, dentist Jordan University of Science & Technology, JUST. 

26 November, 7 hari sebelum, hidungnya asyik berdarah. membuat research di internet dan menjumpaisesuatu yang aneh bertetapan dengan sindrom yang di alami. 

Leukemia adalah sejenis penyakit yang famous dilakonkan oleh filem melayu, kali ini terhinggap pada diri sahabat ini.  Dalam percaya atau tidak, saranan berjumpa dengan doktor di ambil pakai. 

28 November, berserah dan bertawakkal, dengan keputusan ujian, dia redha. Ditahan dan diberikan rawatan yang sempurna di King Abdullah Hospital (KAUH) dan diratapi para sahabat dengan iktiar yang tinggi. Membantu dengan segala usaha dan berdoa dengan segala tawakkal.

Ibubapanya dihubungi, disegerakan hadir, terbang dari seberang sana, dengan harapan dapat menemani permata yang tercinta sehingga sembuh.

Lewat petang hari kedua pada bulan Disember 2011, mendaratlah mereka disisi anakanda tercinta. Berborak, berjenaka, dan memanfaatkan masa setelah sekian lama tidak berjumpa dengan ibu dan bapa tercinta. Seperti berada di Malaysia, seperti rutin harian biasa dan seperti sudah berada dirumah dengan bertemu ahli keluarga, Ilham sangatlah gembira.

Pagi, lebih kurang 10 pagi. 03 Disember 2011, satu artikel dikeluarkan oleh persatuan disini

"زميلنا الهام العاني -سنة ثالثة، ماليزي الجنسية- يتلقى العلاج في مستشفى الملك عبدالله وبحاجة الى نقل صفائح دموية.
بنك الدم لا يستقبل التبرعات اللا من الاردنيين، فمن يملك دم من فصيلة
O+ ويرغب بالتبرع له الرجاء التواصل مع:
أحمد هداية 0779667895

نتمنى له الشفاء العاجل
ولكم جزيل الشكر "

atau dengan terjemahan dalam bahasa inggeris, 

'' Our colleague, Illham Ellani, 3rd year medical student, Malaysian citizen, currently is receiving a treatment in King Abdullah University Hospital, and requires a platelet transfusion.
The blood bank doesn't allow donation except from Jordanians.
Therefore, anybody who has O+ blood group, please contact me, Ahmad Hidayat, at 0779667895''

atau juga dengan terjemahan bahasa melayu yang lebih mudah difahami berserta dengan penerangannya, 

''Bank darah KAUH kekurangan bekalan 'platelet' utk blood group O+..
sesiapa yg mempunyai blood group O+ , diminta ke KAUH (King Abdullah Uni Hosp ) utk menderma platelet..
Saudara kita, Illham Ellani memerlukan yang mencukupi utk penyakit Leukimia yg dialaminya.

p/s : darah O+ dari jenis arab jordan sahaja yg boleh..
darah O+ dari jenis bangsa2 lain tidak boleh..''

bila ditanya, kenapa hanya Jordanian sahaja? Ada tiga jawapan yang diterima dari saudara arab, satu darinya adalah kerana undang-undang, kedua darinya adalah alat untuk mengesan darah O+ untuk bangsa asing tiada di KAUH dan ketiga darinya adalah tiada polisi insuran yang disediakan untuk ajnabi / non Jordanian yang mendermakan darah. Mungkin ketiga-tiganya tidak masuk akal, tapi ini adalah kerahan takdir.

Setelah berkecimpunan mencari dana, jam 03.30 petang samada lebih darinya seminit atau kurang darinya seminit hanya Allah yang tahu, adalah saat terakhir usaha mencari penderma darah O+. 

Irbid pun mendung, Allah lebih menyayangi, hilangnya sebuah permata pejuang fisabilillah. Malam 03 Disember, 09 Muharram. Pemergian selepas Asar. Masih jernih ia adalah 9 Muharram. Syahid pada hari yang mulia. Diuruskan pulang jenazahnya ke Malaysia.
Semoga diletakkan dan dibersamakan bersama-sama orang yang beriman, bertaqwa oleh Allah.

Semua masih gah di ingatan, berborak di status FB yang pertamanya ( 3 post yang terakhir), dengan gurauan surat wasiat dan banyak lagi, kerana masa itu belum terima apa-apa keputusan ujian, tapi akhirnya ia nyata.

Sama-sama sedeqahkan Al-Fatihah.. Nota buat diri sendiri, agar lebih berjaga-jaga. Bersedialah.



Ajal tidak menanti, cuma mengekori.
Tidak kita pergi ke arahnya, cuma ia sentiasa datang kepada kita.
Bersedialah
Syukran atas infonya Akh Kriey Alia 
Alfatihah buat Allahyarham Ilham Elani~



p/s~Friends, Few days ago you ask me, who had died. Here is the answer.

Moga kau dan aku juga sentiasa bersedia. 


Doakan saya.

Sunday, November 27, 2011

Jadi Tukang Kebun Pon Apa Salahnya?

[Kredit]

Seorang kanak-kanak berfikir tentang kerjaya yang mahu diceburinya apabila dia sudah dewasa nanti. Di dalam kepalanya sudah terbayang pekerjaan-pekerjaan tipikal yang dirasakan akan memberikannya kepuasan dan keseronokan; pemandu lori kerana tampaknya sungguh macho, bomba kerana boleh menyelamatkan orang, juruterbang kerana boleh melancong, doktor kerana tiada siapa yang akan melawan cakapnya dan perdana menteri kerana itu adalah cita-cita hampir setiap kanak-kanak di seluruh dunia. 

Tapi dia betul-betul mahu meyakinkan dirinya; pekerjaan apakah yang paling mulia di dalam dunia ini. Kerana ibunya pernah menasihatinya, kalau dah besar nanti, pastikan kamu mencari pekerjaan yang mulia! Maka dia mengambil keputusan, selepas habis sekolah darjah tiganya nanti, dia mahu berjalan-jalan di sekitar bandar (sekolahnya berdekatan dengan sebuah kotaraya yang boleh tahan sofistikatednya) untuk bertanya dengan orang sekitar tentang pekerjaan yang patut diceburinya kelak.

Selepas bunyi loceng tanda tamatnya sesi persekolahan pada hari itu, dia terus bergegas keluar kerana tidak sabar-sabar untuk mengembara mencari jawapan kepada persoalannya itu. Tetapi sempat dia singgah membeli sate ikan dan ais krim roti yang dijual di tepi sekolah. 

Dia menahan bas bernombor dua puluh lapan yang akan berhenti betul-betul di pusat bandar nanti. Ketika menaiki bas, datang satu ilham kepadanya; Apa kata aku mulakan pengembaraan aku dengan bertanya kepada pak cik pemandu bas ni..? Dia tersenyum lebar, gembira dengan cadangan kepala hotaknya itu. 

"Pak cik pemandu bas. Boleh saya tanyakan satu soalan..?"

Pak cik pemandu bas itu sedikit hairan, tapi tersenyum apabila melihatkan kanak-kanak itu benar-benar ikhlas dengan permintaanya.

"Sudah tentu anakku. Silakan.."

"Pak cik, di dalam dunia ni, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Si pak cik berkerut, terkejut agaknya dengan soalan anak kecil itu. Tetapi dia kemudiannya tersenyum, dan menjawab dengan penuh yakin.

"Sudah tentulah pemandu bas, wahai anakku. Kalau tiada pemandu bas seperti pak cik, sudah tentu kamu, Mak Cik Saodah Sulaiman Sireh, Ah Long Siau dan Rajagobal Singh tidak dapat hendak ke mana-mana. Tanpa pemandu bas seperti pak cik yang memandu bas dan siang malam tanpa henti, sudah tentu ramai yang terkandas tidak dapat berbuat apa-apa."

Pak cik pemandu bas tersenyum, berpuas hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu juga tersenyum mendengar jawapan pak cik pemandu bas itu.

Tiba di pusat bandar, selepas mengucapkan terima kasih kepada pak cik pemandu bas, kanak-kanak itu berjalan-jalan mencari 'mangsa' yang seterusnya. Dia ternampak seorang pegawai polis wanita yang sedang meronda. Dia lantas menuju ke arah pegawai polis itu untuk bertanyakan kepadanya.

"Puan, boleh saya bertanyakan sesuatu?"

"Oh sudah tentu. Adik sesat jalankah..?"

"Oh bukan. Saya ingin bertanya kepada puan, di dalam dunia ini, pekerjaan apakah yang paling mulia sekali..?"

Pegawai polis itu sedikit kaget dengan soalan itu, langsung tidak menyangka itulah soalan yang akan ditanya. Tetapi dia kemudiannya tersenyuum.

"Sudah tentulah pegawai polis adik. Kalau tiada pegawai polis macam kakak ni, sudah tentu kacau-bilau bandar ni. Sudah tentu akan ramai penjenayah dan kutu berahak berkeliaran membuat kekacauan. Kalau tidak ada pegawai polis macam kakak yang telus dan amanah dalam menjalankan tugas, pasti adik sekarang ni sentiasa hidup dalam ketakutan!"

Pegawai polis wanita itu tersenyum, yakin kanak-kanak itu pasti berpuas-hati dengan jawapannya. Kanak-kanak itu tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis wanita tersebut.

Masih tidak berpuas-hati, kanak-kanak itu berjalan lagi. Dia mencari-cari kalau-kalau ada sesiapa yang tampaknya sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Tiba-tiba dia ternampak sebuah klinik di seberang jalan; 'Klinik Liza Salmoneli dan Surgeri.' Pasti Puan Doktor mempunyai jawapan yang memuaskan untuk aku. Doktor kan bijak lagi pandai!

Lantas setelah memandang kiri dan kanan, kemudian memandang kiri dan kanan sekali lagi, setelah yakin selamat untuk melintas, kanak-kanak itu berlari-lari anak (sesuai dengan saiz kakinya) untuk melintas jalan. Dia masuk ke dalam klinik dan mendaftarkan dirinya. Mujurlah kakak yang menjaga kaunter pendaftaran tidak mengesyaki apa-apa. Atau mungkin juga dia sedang sibuk berMukaBuku.

Setelah namanya dipanggil, dia masuk ke dalam bilik bernombor satu dan tertulis 'Dr. Salmiah Buang.' Puan Doktor tersenyum apabila melihat seorang kanak-kanak comel yang memasuki bilik rawatannya.

"Ya anakku. Bagaimana doktor boleh membantu anda..?"

"Doktor, saya datang ni bukan untuk mendapatkan rawatan. Tapi saya nak bertanyakan satu soalan. Bolehkah..?"

Puan Doktor menggaru tudungnya, kerana langsung tidak menyangka itu tujuan kanak-kanak itu ke kliniknya. Tetapi kemudian dia lantas tersenyum; terasa kejam pula sekiranya dia menolak permintaan kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Cuma jangan tanya doktor soalan matematik sudahlah. Dah lama doktor tak buat latihan tambah tolak, darab bahagi!"

Oh, jangan risau doktor. Semua kerja rumah matematik saya, telah saya siapkan. Begini doktor. Saya tertanya-tanya, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini..?"

Puan Doktor terkedu sebentar. Biar betul anak kecil ini. Dia cuba menyembunyikan perasaan terkejutnya dengan mengukir sekuntum senyuman sambil berkata:

"Oh itu mudah sahaja anakku. Takkanlah anak tidak tahu, doktorlah pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia ini. Tanpa profesion ini, sudah tentu ramai yang akan mati sakit kerana tidak dirawat dengan segera. Jika tidak kerana doktor yang bertungkus-lumus bekerja seperti saya ini, sudah pasti banyak ibu-ibu yang mati ketika bersalin, ramai yang sakit perut kerana cirit-birit yang tidak dirawati dan ramai yang tergaru sana sini kerana kudis yang dibiarkan merebak! Nah, bukankah doktor pekerjaan yang paling mulia..?"

Kanak-kanak itu hanya mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum. Puan Doktor tersenyum melihatkan kanak-kanak itu; sangkanya sudah pasti si anak kecil yakin dengan jawapannya itu.

"Terima kasih, doktor."

"Sama-sama anakku."

Kanak-kanak itu pergi meninggalkan klinik sambil menghisap lolipop yang diberikan oleh Puan Doktor. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya, walaupon sudah ditanyakan kepada pak cik pemandu bas, pegawai polis wanita dan Puan Doktor.

Arakian dia pon berjalan-jalan lagi, mencari-cari calon yang sesuai untuk menjawab persoalannya itu. Sekiranya dia ternampak atau terserempak dengan mana-mana lelaki atau wanita yang tampaknya seperti bekerjaya, dia pasti akan berjumpa dengan mereka dan bertanyakan soalan yang sama setiap masa; pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia?

Setiap orang yang dijumpainya pasti akan memberikan jawapan yang hampir serupa; bahawanya pekerjaan merekalah yang paling mulia. Akan diberikan pelbagai alasan dan jawapan untuk menyokong kenyataan mereka itu. Dan semua daripada mereka yang memberikan jawapan tampak puas dan yakin dengan jawapan mereka itu. 

Tetapi kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diterimanya. Baik juruterbang yang dia terserempak sedang menikmati teh tarik di sebuah warung mamak atau tuan hakim yang arif lagi bijaksana, yang ditemuinya sedang membeli kad pra-bayar untuk menambah nilai telefon bimbitnya. Kalau begitu, aku kena jadi semuakah..? Sebab semuanya mulia..? Adoyai. 

Sehinggalah dia pulang ke sekolahnya semula dengan menaiki bas bernombor dua puluh lapan jua. Dia menceritakan apa yang ditemui dan didengarinya sepanjang pengembaraan mininya itu kepada salah seorang gurunya yang ditemui di kawasan perkarangan sekolah.

"Haha.. Patutlah kamu tidak berpuas hati. Jawapan yang mereka berikan semuanya salah. Kamu tahu apa pekerjaan yang paling mulia di dunia..?"

"Apa dia cikgu?"

"Kerjaya sebagai seorang gurulah! Tanpa seorang guru, tidak mungkin ada juruterbang, peguamcara dan peguambela, doktor gigi, jurutera petroleum dan semua semua itu! Tanpa ada orang seperti saya, yang ibaratnya lilin yang membakar diri demi menerangkan kawasan sekitarnya, tidak mungkin anak bangsa akan terdidik, menjadi orang-orang yang mulia..! Maka, pastilah guru itu yang lebih mulia, kerana berjaya melahirkan insan-insan yang mulia!"

Guru tersebut tersenyum puas sambil mengangkat tangan kanannya dan membuat gaya Otromen Daina sebagai tanda dia telah menjawab soalan anak didiknya itu dengan sebaik-baiknya. Kelihatan butir-butir peluh kecil terbentuk pada dahi kanak-kanak itu.

Walaupun jawapan gurunya itu seperti benar dan meyakinkan, namun kanak-kanak itu masih tidak berpuas hati. Dia merasakan tiada lagi jawapan yang benar-benar menenangkan hati dan perasaannya. Dia lantas duduk termenung di gazebo berdekatan dengan padang sekolah, sedang merumuskan dan cuba untuk membuat kesimpulan daripada jawapan-jawapan yang diterimanya.

"Kenapa ni nak..? Pak cik nampak daripada tadi anak macam susah hati je..?"

Kanak-kanak itu tersentak daripada lamunannya. Pak Cik Mukhlis Ihsan, tukang kebun sekolah menegurnya. Kanak-kanak itu tersenyum; pertama kerana tidak sangka ada orang yang mengambi berat tentang dirinya dan kedua kerana dia memang suka melihat Pak Cik Mukhlis Ihsan - wajahnya sentiasa ceria dan putih bercahaya. 

"Takde apa pak cik. Saya cuma ada satu soalan yang sehingga kini saya masih belum ketemu jawapannya. Err, pak cik nak dengar?"

Pak Cik Mukhlis Ihsan tersenyum mesra mendengarkan permintaan anak kecil itu. Dia lantas duduk di sebelah kanak-kanak itu.

"Sudah tentu anakku. Dan kalau pak cik boleh jawab, pak cik akan cuba jawab."

"Begini pak cik. Saya sudah bertanyakan soalan ini kepada begitu ramai orang, tapi jawapan mereka semuanya sama. Saya tanyakan kepada mereka, pekerjaan apakah yang paling mulia di dunia ini. Dan tiada sebab lain saya bertanyakan soalan itu melainkan kerana saya mahu bekerja dengan pekerjaan yang paling mulia di dunia ini apabila saya sudah dewasa kelak!"

"Jadi? Apa jawapan yang kamu terima?"

"Itulah. Semuanya pun mengatakan yang pekerjaan mereka yang paling mulia. Dan semuanya ada alasan dan hujah masing-masing yang boleh diterima. Maka kini saya tidak pasti lagi pak cik; sama ada saya patut menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, tukang masak atau seorang guru!"

"Hahaha.. Begitu. Hhhmm, kamu mahu mendengar jawapan pak cik pula..?"

"Pastilah! Tapi... Adakah pak cik akan mengatakan juga yang menjadi tukang kebun itu pekerjaan yang paling mulia..? Kerana tanpa tukang kebun macam pak cik, pastilah sekolah tidak terjaga dan ceria..?"

"Hahaha.. Tidak anakku. Itu bukan jawapan pak cik. Kamu betul-betul mahu tahu apakah itu pekerjaan yang paling mulia di dalam dunia..? Malah di seluruh alam semesta adanya juga..?"

"Wah! Sudah tentu sudah tentu! Apakah itu pekerjaan yang paling mulia pak cik..?? Cepat cepat, tolong beritahu saya!"

"Pekerjaan yang paling mulia, anakku.. Adalah apa-apa pekerjaan yang dilakukan ikhlas dan ihsan keranaNya. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Bukan untuk berbangga-bangga. Dan bukan juga untuk mengejar dunia. Tetapi pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya. Pekerjaan yang dilakukan untuk mencari rezeki yang halal dan ada berkatnya.

Dan yang lebih utama, pekerjaan yang paling mulia itu adalah pekerjaan yang mendatangkan manfaat dan faedah bukan sahaja kepada diri si pekerja itu, tetapi juga kepada orang di sekitarnya. Dia bekerja bukan untuk dirinya, tetapi memberi khidmat setia kepada orang ramai tanpa dipinta. Tidaklah dia melalui sesuatu tempat itu melainkan dia meninggalkan mutiara dan permata yang berharga jua."

"... Jadi.. Pekerjaan seperti pak cik, menjadi tukang kebun pun boleh jadi pekerjaan yang paling mulia..?

"Hahaha.. Pekerjaan seperti pak cik ini tidak ada apa-apa anakku. Pak cik hanyalah seorang insan hina yang biasa, yang tinggal di duniaNya mengharapkan belas ihsanNya. Pak cik hanyalah seorang manusia dina, yang setiap hari bergantung harap padaNya..."

Pak Cik Mukhlis Ihsan menghadiahkan senyuman mesra kasih-sayang kepada kanak-kanak itu, bingkas bangun dan menyambung melakukan kerja-kerjanya. Kanak-kanak itu terdiam dan berfikir sejenak, menghadam kata-kata Pak Cik Mukhlis Ihsan.

Dia kemudiannya lantas bangun, terukir senyuman puas pada bibirnya. Matanya bersinar-sinar terang, bersih dan penuh keyakinan.

Ya, aku sudah tahu apa yang aku nak jadi nanti!

-gabbana-

Salam tahun baru 1433H buat semua pembaca APG. Umur kita sudah meningkat, umur dunia juga sudah semakin tua. Kita tidak punya banyak masa lagi untuk mengejar keredhaaNya yang hakiki, tahu...??




seriously, credit to Gabbana!




ingat, benda kecil kalau ikhlas, itulah yang paling baik di sisi ALLAH :) 

Wednesday, November 16, 2011

ISLAMIC SUMMER CAMP G5!

Assalamu'alaikum WBT

Untuk makluman muslimin dan muslimat, ahli-ahli Kelab Remaja Ukhuwwah dan sesiapa yang berminat untuk mengisi waktu cuti sekolah dengan aktiviti bermanfaat.

Persatuan Siswazah Sabah akan menganjurkan sebuah kem outdoor iaitu Islamic Summer Camp(ISC) untuk kali yang ke-5 seperti butiran yang berikut:

Tarikh: 16-18 Disemberr 2011
Tempat: KK Adventure Park
Yuran: RM30

Terbuka kepada semua remaja yg berusia 15-19 tahun. Terdapat pelbagai pengisian yang menarik menanti anda seperti aktiviti pembinaan jati diri, kepimpinan dan kepentingan berdakwah yang melibatkan fizikal dan rohani.

Tempat program menyediakan prasarana untuk pelbagai aktiviti yg cukup menyeronokkan seperti, kayak, flying fox, wall climbing, permainan tepi pantai dan lain-lain.

Penyertaan TERHAD kepada 100 orang peserta (Ahli KRU sahaja) yang terawal sahaja. Nama akan dimasukkan selepas pembayaran RM30 dilakukan. Boleh terus menghubungi saya, saudari Insyirah di talian 013-5509496 ataupun saudari emaliza di talian 013-5550516 untuk pendaftaran dan keterangan lanjut.

Boleh melayari laman http://d-kru.blogspot.com/2010/12/islamic-summer-camp-2010.html untuk melihat laporan aktiviti ISC yang sudah pernah diadakan sebelum ini 

Jom ajak teman-teman! Cepat-cepat sebelum terlepas!


Jom! Ikut ISC 2011!

NOTA:
  • Peserta perlu membayar yuran RM 30 sebelum program bermula kepada urusetia
  • Hanya peserta yang disenaraikan sahaja layak mengikuti program
  • Sebarang soalan dan masalah hubungi nombor yang disediakan
  • Hubungi Sdra Zulhimey (013-7143840) atau Sdri Emaliza (013-5550516) untuk pendaftaran.
  • Layari http://on.fb.me/sFG8YW untuk maklumat lanjut dan terkini.

Testimonials Mantan Peserta ISC

Nurul Insyirah binti Sunoto (ISC Generasi Pertama, G.1)
Mahasiswi Mujamma’ Fatah Islami, Dimasyq, Syria 


“Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai ISC Kali Pertama di Kg. Teraiyung, Tuaran pada tahun 2007. Program ini memberikan sentuhan pengisian yang baik kepada pembangunan para remaja sama ada dari sudut luaran mahupun spiritual. Kepelbagaian aktiviti yang disediakan menjurus kepada kepimpinan, dakwah, dan berorganisasi mampu memberikan impak dinamik kepada para peserta. Bahkan, modul-modul yang disediakan juga mencambahkan ikatan ukhuwwah dan seterusnya memupuk kerjasama di antara peserta program. Melalui program inilah saya mula mula berjinak-jinak menembusi arena dakwah setelah diberi kefahaman akan kewajipan dan kepentingannya. Justeru, program ISC inilah titik tolak bermulanya saya menanam azam mendalami ilmu agama untuk membantu mengembangkan Islam dalam kalangan masyarakat Sabah khususnya dan mengajar saya erti sebuah kehidupan”.


Mohd Shahfieq bin Sabdin (ISC Generasi Kedua, G.2)
Mahasiswa Uni. Malaysia Sabah
“Alhamdulillah. Rentetan daripada menyertai KRIS (AJK) & KRC (Peserta), saya dapat mengaplikasikan semua teori dan ilmu dalam program ISC ini. Terjun ke dalam masyarakat, itu yang boleh disimpulkan dalam segenap aktiviti ISC. Melihat keadaan dan ‘sakit’nya masyarakat mampu membuahkan kesedaran kepada peserta. Bagi saya, ini merupakan satu program yang sangat baik dari segi konsep, modus operandi dan praktikalnya”.


Mohd Fazrin (ISC Generasi Ketiga, G.3)
Mahasiswa Uni. Tun Abdul Razak
“Pengalaman sebagai peserta ISC sangat menyeronokkan. Kuliah Dasar yang disampaikan telah membuka minda saya. Saya sangat berharap agar program seperti ini dapat dijalankan terutamanya untuk pelajar peringkat universiti selain untuk pelajar sekolah menengah. Ini kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang leka dan tidak sedar akan tuntutan dakwah khasnya di Sabah”.


Ummul Izzatin Mardiah binti A. Ghaffar (ISC Generasi Keempat, G.4)
Mahasiswi Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
“ISC merupakan satu program yang mana ia mempunyai kelainannya yang tersendiri daripada program-program yang lain. Dari sudut pengisian yang dibawa serta pendekatan da’wah yang lebih mendalam serta mudah difahami diketengahkan serta diperkenalkan kepada peserta. Rentetan itu, ia membuatkan jiwa-jiwa yang masih mentah mudah dilentur dari awal lagi supaya bisa mereka membesar segar di dalam tarbiyyah Islam dari masa ke semasa dalam keadaan dunia kini yang makin mencabar”.


Voon Hai Ming (ISC Generasi Keempat, G.4)
Mahasiswa Uni. Malaysia Sabah
‘Peserta Non-Muslim’.
“Program ini dapat mengukuhkan aqidah seseorang muslim. Teruskan usaha dalam mengIslamkan kehidupan”.



NOTA:
  • Peserta perlu membayar yuran RM 30 sebelum program bermula kepada urusetia
  • Hanya peserta yang disenaraikan sahaja layak mengikuti program
  • Sebarang soalan dan masalah hubungi nombor yang disediakan
  • Hubungi Sdra Zulhimey (013-7143840 begin_of_the_skype_highlighting            013-7143840      end_of_the_skype_highlighting) atau Sdri Emaliza (013-5550516 begin_of_the_skype_highlighting            013-5550516      end_of_the_skype_highlighting) untuk pendaftaran.
  • Layari http://on.fb.me/sFG8YW untuk maklumat lanjut dan terkini.

 

Thursday, September 29, 2011

Iqbal Fahreen.

Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.

Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.


Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.

Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya.

"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir," begitulah kata mak pada abah.

Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.

"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu!"

Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh memalingkan muka.

Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi abang.

Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"

Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang ke tanah perkuburan.

Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.

Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.

Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.

Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?

Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak tidak menangis, sayang.

Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'. Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak akan ada lagi pembedahan untuk Abang.

26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah! Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.




7 Mac 2011- Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi. Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri yang telan.

13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa Abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya, "Abang nak apa harini?"

Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak, Abang nak naik kereta bomba!"

Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?

Mak jawab, "Balai bomba!"

Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras dada.

Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak apa?"

Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.

"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka. Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.

Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang. Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.

Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin suntuk!

27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.

"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk pesakit kritikal.

5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.

"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.

7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi. Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura rajin menulis mengenai kisah abang didalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan nafas abang turun naik.

8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah. Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.

Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun seketika."

Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah tiada lagi di dunia.

9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak, tercungap-cungap menarik nafas.

Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi. Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.

Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang keluar berjalan-jalan.

"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil tengok matahari!"

Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.

"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang menguap.

"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. "Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.

Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.

Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah, "Makkk..sakit perut..!"

Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi Abang.

"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi. Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang. Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas. Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.

"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami. Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.

"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah.."

Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...

Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillahiwainnailahiraji
un.

Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang, "Tenanglah Abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"

Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk, kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan. Mak telah beri segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu mak tidak perlu menangis lagi.

Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati' apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).





Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen.





ketika membaca entry ini. 
sebak.
terharu.

harapannya,
moga saya dan anda juga boleh jadi seperti Abang.
moga bila saya atau anda menjadi seorang ibu atau bapa, kita akan jadi ibubapa yang redha dan tabah dengan ujian.
moga bila saya atau anda sakit. kita juga akan menyenangkan orang sekeliling kita.
moga bila saya atau anda sakit, kita akan lebih dekat dengan ALLAH.

Tuesday, September 13, 2011

Nota Dakwah : Komitmen Dai’ (Sang Penyeru)

Dakwah, ia adalah seni yang lahir daripada hati. Ia juga adalah lahir daripada ketulusan, kesungguhan dan komited yang luar biasa
Komitmen Dai, ia bukannya cetusan fikiran yang berlegar dimainan minda tanpa arah dan tujuan. Komitmen ia bukanlah sesuatu bicara biasa yang meniti manis di hujung kalam bibir insan.
Komitmen juga ia bukannya gerak kerja yang biasa-biasa yang dilaksanakan oleh pekerja –pekerja seperti amalan rutin, namun ia adalah suatu tindakan amalan yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dengan kehadiran ruh dan perasaan.


Saya benar-benar tersentuh dengan tulisan Muhammad Abduh dalam bukunya Komitmen Dai Sejati. Ternyata ia adalah karya tulus dan segar daripada seorang dai’ yang menjiwai perjalanan dakwahnya kepada masyarakat. Katanya :
***
Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka tidak akan banyak dai yang berguguran di tengah jalan. Dakwah akan terus laju dengan lancar untuk meraih tujuan-tujuannya dan mampu menanam prinsip-prinsipnya dengan kukuh.


Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka dia tidak akan peduli ketika ditempatkan di barisan depan atau belakang. Komitmennya tidak akan berubah ketika dia diangkat menjadi pemimpin yang boleh mengeluarkan keputusan dan ditaati atau hanya sebagai jundi yang tidak dikenal atau tidak dihormati.


Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka semua orang akan sangat menghargai waktu. Bagi setiap dai, tidak ada waktu untuk terbuang sia-sia kerana dia akan selalu menggunakannya untuk beribadah kepada Allah di sudut mihrab, atau berjuang melaksanakan dakwah dengan menyeru kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran. Atau, menjadi murabbi yang gigih mendidik dan mengajari anak serta isterinya di rumah. Dai yang aktif di masjid untuk menyampaikan nasihat dan membimbing masyarakat.

Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan segera menunaikan kewajipan kewangannya untuk dakwah tanpa dihinggapi rasa ragu sedikitpun. Semboyannya adalah


“Apa yang ada padamu akan habis dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.”
[an Nahl (16) :96]


Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan patuh dan taat tanpa berasa ragu dan bimbang. Di dalam benaknya tidak ada lagi erti keuntungan peribadi dan menang sendiri.”


Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka akan muncul fenomena pengorbanan yang nyata. Tidak ada kata “ya” untuk dorongan nafsu atau segala sesuatu yang seiring dengan nafsu untuk berbuat maksiat. Kata yang ada adalah kata “ya” untuk setiap perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah.


Jika komitmen para dai benar-benar ikhlas, maka setiap anggota akan menaruh kepercayaan yang tinggi kepada para pemimpin fikrah. Setiap yang bergabung akan melaksanakan aspirasi pemimpinnya dan menegakkan prinsip-prinsip dakwah dalam hatinya.

Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka setiap orang yang kurang teguh komitmennya akan menangis, sementara yang bersungguh-sungguh akan menyesali dirinya kerana ingin berbuat lebih banyak dan berharap mendapat balasan serta pahala dari Allah.
***


MasyaAllah, saya benar-benar terisi dan tersentuh dengan nasihatnya. Bagaikan sebuah pukulan, hentakan dan peringatan yang sanga-sangat mengesani jiwa.


Komitmen memerlukan kesediaan jiwa yang membulat kepada Allah SWT. Mereka menyakini, menyerahkan sebulatnya diri mereka dan segala-galanya untuk deen Allah SWT. Kesanggupan untuk melalui apa jua rintangan, ujian, mehnah dan segala bentuk tribulasi menjadikan diri mereka semakin tabah dan kuat.
Dan, ketahuilah komitmen kita akan diuji dan terus diuji. Sama ada kita sedar, semakin hari ia semakin tertingkat dan ia saatnya, ia semakin menurun sehingga tersungkur menyembah bumi.
Soal diri kita, bagaimanakah komitmen kita sebagai mukmin dalam melaksanakan ubudiyah kepada Ilahi? Jiddiyah (kesungguhan), keiltizaman (konsistensi) dan sifat disiplin yang ada dalam diri di tahap yang bagaimana?


Persoalan-persoalan ini harus dijawab dengan segera? Tanya hati kita, apakah jawapan yang akan kita berikan apabila inilah yang disoalkan kepada kita di hadapan Allah SWT?
 syukran ya ustaz broHamzah..
Sahabatku,
lalu kita bagaimana?

KOMITMEN yang selalu kita perkatakan.
kini.

KOMITMEN kah kita dalam gerak kerja yang kita pilih ini?

Sunday, August 21, 2011

MEMO SEORANG PEJUANG!

Berikut adalah email yang telah dikongsi oleh Allahyarham Mas Afzal kepada kami beberapa minggu selepas beliau ditauliahkan sebagai seorang Doktor dalam keadaan dirinya menghidap penyakit Hodgkin Lymphoma dan menjalani rawatan Chemotherapy. 

Allahyarham Dr. Mas Afzal bersama ibu tercinta
 Assalamualaikum wbt. 
Sebelum saya mula berbicara panjang, ingin saya tegaskan terlebih dahulu bahawa segala kejayaan dan kegagalan yang kita kecapi adalah semuanya ketentuan Allah yang sudah tertulis di Lauh Mahfudz semenjak azali lagi. Segala usaha yang kita buat adalah ikhtiar di pihak kita, tetapi adalah menjadi sebahagian daripada tunjang keimanan kita untuk percaya bahawa Allah pemegang semua kesudahan.
“…Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfudz)…” [Fatir : 11]
Saya mendapat inspirasi menulis warkah ini daripada perbualan YM dengan seorang sahabat yang mencadangkan agar saya berkongsi pengalaman bagaimana saya melalui semua cabaran yang telah saya lalui sepanjang 10 bulan yang lalu. Beliau sendiri punya cabaran yang menanti dihadapannya kini dan saya doakan beliau hasanah di dunia dan di akhirat, insya Allah.

Lebih 10 bulan yang lalu, saya baru sahaja masuk ke tahun akhir perubatan dan bakal menduduki peperiksaan akhir bertulis (final written examination) pada 15 dan 16 Januari 2009. Peperiksaan ini adalah antara ujian terpenting kerana ia melibatkan kefahaman pelajar terhadap semua aspek klinikal dan pra-klinikal yang telah dipelajari sepanjang 5 tahun pengajian.

Semuanya bermula apabila saya telah disahkan doktor menghidap penyakit Hodgkin’s Lymphoma (sejenis kanser darah) pada awal Disember 2008. Oleh itu, saya perlu menjalani rawatan chemotherapy sebanyak 12 kali, pada kekerapan 2 minggu sekali, selama 6 bulan. Kesan paling signifikan daripada rawatan chemotherapy adalah kepenatan yang amat (extreme fatigue) dan loya (nausea). Simptom-simptom ini biasanya paling ketara pada minggu pertama selepas rawatan.

Saya bernasib baik kerana dibenarkan untuk meneruskan pengajian tetapi terpaksa ponteng sebanyak 5 hari untuk setiap selang seminggu apabila menerima rawatan. Ini bermaksud saya hanya dapat hadir ke setengah daripada jumlah masa yang diperuntukkan untuk clinical attachment.

Tips 1 : Manfaatkan masa sihat sebelum sakit
Saya mendapat diagnosis lebih kurang sebulan sebelum tarikh peperiksaan bertulis saya pada bulan Januari dan oleh kerana rawatan chemotherapy, saya telah menghitung masa ‘sihat’ yang saya ada sebelum peperiksaan tersebut adalah selama 2 minggu, separuh daripada jumlah masa sebenar (ie 4 minggu). Justeru, saya meletakkan mindset bahawa peperiksaan saya tinggal 2 minggu sahaja lagi, dan BUKANNYA 4 minggu.

Dengan meletakkan mindset sedemikian, saya tidak meletakkan risiko untuk cuba belajar pada tempoh pemulihan (recovery period) daripada rawatan chemotherapy, yang biasanya memakan masa seminggu. Tempoh 2 minggu ‘sihat’ saya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, dan saya benar-benar berehat pada 2 minggu ‘sakit’ tersebut bagi memberikan hak untuk badan saya pulih daripada rawatan. Langsung tak sentuh buku. Ini telah membolehkan badan saya benar-benar segar dan sihat apabila tiba hari peperiksaan.
Kebiasaannya, saya tidak berasa penat atau loya ketika sedang menjalani rawatan chemotherapy itu sendiri. Oleh itu, masa-masa seperti itu juga dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran. Ketika ubat chemotherapy sedang dimasukkan ke dalam badan saya, saya akan duduk menelaah buku buat memanfaatkan masa yang ada. Ingat, manfaatkan masa sihat sebelum sakit!

Tips 2 : Kenali cara pembelajaran anda!
Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang berkenaan tips belajar kerana semuanya pasti punya cara masing-masing dan lebih cemerlang daripada saya sendiri. Apa yang saya sekadar ingin tegaskan hanyalah satu; kenali cara pembelajaran anda, dan jangan jadikan diri gelabah dengan bertukar-tukar teknik pembelajaran, apatah lagi apabila peperiksaan sudah semakin dekat!

Untuk diri saya sendiri, saya percaya pada kaedah pembelajaran melalui latih tubi. Saya suka membuat banyak bank soalan daripada past year papers dan buku-buku bank soalan. Buku-buku seperti EMQ for Medical Students, Case Studies in Medicine and Surgery dan lain-lain memang menjadi kegemaran saya bagi meguatkan kefahaman dan ingatan saya terhadap semua teori klinikal yang saya pelajari. Adalah penting sebelum membuat latih tubi ini untuk saya membaca terlebih dahulu nota klinikal saya sebagai tapak asas pemahaman saya (foundation). Untuk tujuan ini, saya hanya biasanya menggunakan buku Oxford Handbook of Clinical Medicine dan Kumar and Clark Pocket Handbook sebagai rujukan utama.

Untuk pelajar perubatan tahun akhir, saya mendapati website Ask Dr Clarkewebsite ini merupakan bank yang mengumpulkan soalan-soalan peperiksaan tahun akhir bagi kebanyakan universiti-universi ti seluruh UK. Ia juga mempunyai banyak tips-tips bagi menghadapi OSCE yang saya dapati sangat praktikal lagi realistik dalam membantu persediaan para pelajar. sebagai salah satu sumber pembelajaran yang sangat membantu. Ini kerana

Kaedah latih tubi ini telah saya gunakan semenjak tahun pertama pengajian lagi, dan ia sangat membantu mengukuhkan (consolidate) teori-teori yang telah saya pelajari samada daripada buku ataupun melalui clinical attachment. Anda perlu kenal kaedah pembelajaran yang paling sesuai dengan anda, yakin dengannya dan cuba konsisten menggunakannya!

Tips 3 : Belajar perkataan-perkataan lazim orang kebanyakan
Tips ini mungkin lebih bersifat spesifik kepada mereka yang menduduki OSCE. Sudah tentu antara persediaan penting OSCE yang kita sedia maklum adalah memperbanyakkan praktis dalam history taking dan clinical examination, disamping pengukuhan teori-teori klinikal. Tetapi jangan lupa bahawa examineroverall impression. Selalu saya mendengar ramai pelajar perubatan yang gagal dalam sesuatu station dalam OSCE kerana overall impression yang tidak memberansangkan, walaupun secara asanya tidak banyak kesilapan pada aspek knowledge. dan pesakit juga meletakkan markah yang signfikan pada

Overall impression ini termasuklah keramahan, menghormati pesakit dan lain-lain. Kebanyakannya tak perlu kita lakonkan pun, sebab kebanyakan kita orang Melayu sudah punya ciri-ciri tersebut dalam diri kita. Cuma mungkin apa yang kita kurang adalah pada bahasa kita. Cuba duduk di hospital, dengar, belajar dan praktikkan perkataan-perkataan yang digunakan oleh para doktor atau jururrawat, khasnya mereka yang berasal dari kalangan orang tempatan (locals). Ketahui local jokes dan local idioms, ia banyak membantu saya membina hubungan rapat (rapport) dengan pesakit.

Semua ini biasanya kita takkan dapat belajar daripada buku, kuncinya adalah pada banyak mendengar perbualan orang kebanyakan, dan kalau ada peluang, turut serta dalam bicara. Selamat berjaya!
Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya berbanding orang yang mengajak kepada ALLAH, dan dia beramal soleh, serta mengatakan, “Sesungguhnya aku ini di kalangan orang-orang yang menyerah diri (kepada ALLAH)” Al-Fussilat, Ayat 33

Tips 4 : Tepis persepsi, “Kerja jemaah/persatuan asing, belajar asing”.
Saya akur sesetengah individu ada prinsip bahawa apabila sedang belajar, tidak mahu fikir apa-apa berkenaan kerja jemaah/persatuan/komuniti, atau apabila sedang buat kerja tersebut, tidak mahu fikir tentang belajar.former, tetapi latter. Pada hemat saya, melihat waqi’ mahasiswa di UK dan Ireland, saya rasa masalah yang lebih merisaukan bukannya pada

Apatah lagi bila semangat membara-bara selepas baru hadir tamrin atau madrasah atau program motivasi sedang membuak-buak dalam diri, ahli nak buat sebanyak mungkin kerja jemaah/persatuan/komuniti tetapi kemudian lupa terus pada akademik. Tinggal sekejap nota kuliah dan ulangkaji, katanya. Kesudahannya terkapai-kapai selepas beberapa bulan ketinggalan gerabak dalam akademik.

Tanggapan negatif yang pada pandangan saya wajar diketepikan adalah apabila kita terlalu pantas melabelkan seseorang sebagai tidak serius atau tidak committed bila suka mencampur-adukkan belajar ketika sedang buat kerja jemaah/persatuan/komuniti. Kadang-kadang kita tidak melafazkan persepsi tersebut, tetapi ia mendominasi pemikiran kita, sampai kadang-kadang menjadi buruk sangka. Nauzubillah.

Apa yang saya maksudkan dengan belajar ketika sedang buat kerja jemaah/persatuan/komuniti adalah memanfaatkan ‘masa-masa lapang’ dalam kesempitan masa yang ada. Beberapa contoh yang saya selalu buat, tapi saya perasan bukannya satu budaya dikalangan mahasiswa di sini :

i. Mengulangkaji pelajaran sambil menunggu mesyuarat jemaah bermula, baik secara bersemuka mahupun di alam maya. Apatah lagi bila kita sudah bersedia dengan mesyuarat dan hanya menunggu ia untuk bermula, contohnya sudah membaca minit mesyuarat, sudah melaksanakan tindakan dalam minit mesyuarat, dsb.

ii. Mengulangkaji pelajaran ketika dalam kapal terbang, bas, dsb dalam perjalanan ke tempat program. Tidaklah perlu buat setiap kali pergi program, sebab saya faham inilah biasanya masa mengeratkan ukhuwwah berborak dengan ahli yang lain, atau mungkin juga menghafal ayat hafazan program (jika ada). Tetapi kalau dah tiada kerja lain nak dibuat, kenapa tidak?

iii. Berkongsi ilmu pengajian dengan sahabat yang sama bidang ketika bertemu di program. Saya kadang-kadang tersenyum bila ada sesetengah mahasiswa yang berseloroh mengatakan perbuatan sedemikian sebagai ‘menyedihkan’ atau ‘asabiyyah medik’ dan bermacam-macam gelaran lagi. Kenapa perlu dimatikan semangat itu dengan kata-kata yang langsung tidak memberikan manfaat kepada orang lain dan diri sendiri?
Saya sedih kadang-kadang melihat ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang sangat baik kerja jemaah/persatuan mereka tetapi kandas dalam pembelajaran masing-masing. Mari kita muhasabah semula, mungkinkah ada lompong-lompong yang boleh kita perbaiki, contohnya dengan cara-cara seperti di atas?

Tips 5 : Melihat amal ijtimai’e lebih daripada sekadar tanggungjawab
Semasa saya mula-mula mendapat diagnosis, seringkali saya duduk keseorangan cuba untuk meredakan tekanan yang semakin membina dalam diri. Terfikir-fikir bagaimana agaknya dalam keadaan perlu menjalani rawatan kemoterapi ini, saya nak menghadapi peperiksaan bertulis yang bakal menjelang, menguruskan hal penceramah dari tanah air untuk program besar mahasiswa ketika itu, dan pelbagai lagi.
 
 Masing-masing pasti punya cara tersendiri buat meredakan tekanan. Saya dapati terapi terbaik untuk diri saya sendiri adalah pada amal ijtimai’e yang saya lakukan. Apabila saya berpeluang untuk memberi, menyumbang mahupun menjadi penerima dalam mana-mana aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Tekanan mahupun stress yang membina dalam diri seolah hilang bila saya berjumpa dan berukhuwwah dengan kawan-kawan, bukan sekadar di kalangan mahasiswa tetapi juga famili postgraduate dan anak-anak mereka, rakan-rakan seMuslim di masjid dan rakan-rakan Malaysia yang lain.

Aktiviti kerohanian seperti solat hajat, Eid gathering, ceramah agama mahupun aktiviti riadah seperti bermain bola sepak menjadi terapi buat diri. Kadang-kadang orang bertanya kenapa saya susah-susah mahu menghadirkan diri ke program-program ini dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan? 

Jawapan saya mudah, “Kalau saya tak datang program ini, alamat lagi tertekanlah saya duduk di rumah menahan sakit!




Libatkan diri dalam apa yang kita minat, kerana ia boleh menjadi terapi kepada meredakan stress. Saya minat menyanyi walaupun suara tidaklah sedap mana, maka sebab itulah saya tidak pernah terlupa untuk bertanding dalam pertandingan nasyid anjuran persatuan mahasiswa di Sheffield setiap tahun. Bukan sahaja saya dapat mainkan peranan menyumbang untuk menyebarkan dakwah melalui hiburan, tetapi saya juga dapat bergembira dengan apa yang saya lakukan.

Semua ini sebahagian daripada amal ijtimai’e, dimana kita cuba sebaik mungkin untuk mendekati mad’u dan cuba bawak mesej Islam melalui cara yang sesuai dengan keadaan. Tapi pada masa yang sama ia juga boleh menjadi terapi untuk kita. Jangan sekadar melihat kerja-kerja ini sebagai hanya tanggungjawab yang membebankan, kerana itu hanya akan mengundang stress.

Saya dapati melalui terapi ini, saya menjadi lebih bersemangat dalam mengulangkaji pelajaran. Saya dapat bayangkan kalau saya tidak rajin turun ke aktiviti kemasyarakatan dan berpendirian sekadar ingin beruzlah sahaja dibilik, pasti saya cepat give-up bila mahu mula mengulangkaji pelajaran. “Asyik-asyik menghadap buku!!”, begitulah barangkali perasaannya.

Tips 6 : Jadikan belajar sebagai cara taqarrub
Satu kaedah yang saya sangat gemar gunakan semenjak zaman saya belajar A-Level lagi adalah menjadikan belajar sebagai agen taqarrub kepada Allah SWT. Caranya mudah sahaja, bahkan saya yakin ramai juga yang mempraktikkan kaedah yang sama.
Saya suka selang-selikan sesi pembelajaran saya dengan pembacaan al-Qur’an, tidak semestinya setiap kali, tetapi sekurang-kurangnya sekali sehari. Bak kata orang, membaca al-Qur’an ini secara tidak langsung membantu menguatkan ingatan kita. Saya kenal sesetengah orang yang berkongsi pengalaman mereka bahawa menghafaz ayat-ayat al-Qur’an akan lebih menguatkan lagi ingatan kita terhadap apa yang kita pelajari.

Khususnya apabila semakin dekat dengan peperiksaan, saya juga lebih selesa mengulangkaji pelajaran di masjid yang berhampiran dengan kediaman saya berbanding di rumah. Itu memang tabiat saya semenjak zaman pembelajaran A-Level lagi. Bukan sahaja ia sebaik-baik tempat, saya juga dapat pastikan solat saya sentiasa diawal waktu, dan secara berjamaah. Barulah tak rasa malu bila duduk berdoa nak meraih nusrah Allah dalam membantu imtihan saya, sebab ibadah saya insya Allah jadi lebih kemas.

Saya kira untuk mahasiswi di bumi UK/Ireland, pasti lebih sukar nak mengulangkaji pelajaran di masjid berbanding ketika zaman belajar di Malaysia. Rasanya yang penting adalah mencipta suasana ala ‘madrasah’ di tempat belajar anda. Yang mengizinkan anda untuk belajar, pada masa yang sama menjadi tempat beribadah, beramal jamai’e, dsb. Sekadar pandangan.
Itulah yang saya maksudkan dengan menjadikan belajar sebagai agen taqarrub. Ibarat menyelam sambil minum air.



Tips 7 : Jangan jadikan kerja jemaah/persatuan sebagai part-time job
Ada yang kata ia konsep ideal semata-mata, tetapi saya percaya sepenuhnya bahawa kalau saya ikhlas buat kerja jemaah/persataun, walau dalam kesempitan mana sekalipun, Allah pasti akan lorongkan nusrah dalam pembelajaran saya.

Saya rasa nusrah Allah itu paling saya rasai bermula Disember yang lalu. Ketika itu, saya perlu cope dengan rawatan chemotherapy yang meletihkan, pada masa yang sama mempersiapkan diri dengan peperiksaan pada bulan Januari, dan memegang jawatan yang agak signifikan dalam kem mahasiswa ketika itu. 3 perkara besar yang masing-masing ada hak untuk diberikan masa kepadanya.

Sebelum saya berbicara sedikit panjang tentang topik ini, suka saya memberikan amaran awal bahawa isu ini mungkin sedikit sensitif dan boleh mendatangkan banyak perbahasan. Saya dinasihati sesetengah sahabat agar cool down dengan kerja mahasiswa pada ketika itu, dan berikan masa untuk berehat dengan chemotherapy serta fokus kepada peperiksaan yang bakal menjelang. Pandangan yang saya hormati dan merupakan cerminan sayangnya mereka kepada sahabat seperjuangan mereka, sesuai dengan sifat ruhamaa u-bainahum.

Namun saya punya pendirian tersendiri, dan saya merasakan membuat kerja jemaah/persatuan adalah antara saham utama saya untuk mengatakan saya membantu agama Allah. Dan berani saya mengatakan bahawa tidak dapat membuat kerja-kerja jemaah/persatuan seolah-olah mencabut salah satu kekuatan dalam diri saya. Kerana saya melihat amal jamai’e saya sebagai satu terapi menguatkan iltizam saya untuk berjaya dalam pengajian, disamping pencetus sabar untuk menempuh ujian dalam kesihatan diri. Tidak sekali-kali saya melihat komitmen saya dalam jemaah/persatuan sebagai kerja part-time.
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad : 7]
“…Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) Nya…” [Al-Hajj : 40]
Pada masa yang sama, tidaklah bermaksud saya ingin menaja konsep ‘one man show’ disini. Itu bukan budaya kita berkerja dalam jemaah/persatuan. Ketika itu, banyak tanggungjawab saya telah saya delegasikan kepada sahabat-sahabat yang lain, yang lebih daripada bersedia untuk membantu. Kalau pun tidak sihat sangat, paling kurang pun saya cuba untuk tidak lupa membaca email dan memberikan respons jika ada pandangan yang ingin dikongsikan. Tidak mahu terus sirna dan melayan dunia sendiri.

Semoga semangat dan iltizamnya akan terus menjadi pemangkin kebangkitan mahasiswa Islam di mana-mana sahaja.

Ikuti kisahnya yang penuh motivasi di blog ini 

Ibn Abd Rahim
Dublin 8


p/s : sahabat-sahabat ninja, dulu kak yah pernah suggest kita untuk baca blog Dr. Mas Afzal ni. hakikatnya, benarlah hidupnya penuh ujian tapi tidak pernah dia berpaling. hidupnya memberi manfaat, matinya juga memberi manfaat.



retrieved from Dr. Abdul Rahim