Wednesday, March 21, 2012

Cerita-Ceriti Syria

[Kredit]

Sudah ramai orang yang meminta saya untuk menulis sesuatu untuk dan tentang Syria. Alhamdulillah, akhirnya saya dipermudahkan, diberikan kekuatan olehNya untuk mewarkahkan penulisan ini. Selama ini saya agak keberatan untuk menulisnya. Bukan apa, untuk bercakap tentang sesuatu yang besar dan penting memerlukan kajian dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Dan kajian memerlukan masa dan ruang yang secukupnya; tersalah cakap pula akan menyebabkan saya sama ada bakal disaman oleh Kerajaan Syria atau diburu oleh pembunuh upahan Bashar al-Assad yang selama ini sememangnya dengki pada saya heyy! Eh.

Sebelum kita melihat pada krisis yang sedang berlaku di Syria, mari kita selusuri sejarah ringkas negara tersebut, untuk lebih memahami sedikit-sebanyak kedudukan sosio-politik negara tersebut. Juga untuk memberi kita kefahaman dan semangat mengapa kita sebagai umat Islam amat perlu turun padang untuk membantu dan mempertahankan saudara-saudara kita di sana. Ini soal ummah sejagat; maka kita perlu ambil tahu dan ambil peduli.
 

Syam: Kota Penuh Bersejarah

Syria, (atau Suriah) adalah salah satu daripada empat buah negara Kota Syam, sememangnya mempunyai kedudukan yang cukup istimewa di sisi Islam. Malah Allah merakamkan keistimewaan wilayah ini di dalam al-Quran pada surah Quraisy apabila Allah ingin mengingatkan bangsa Quraisy tentang keistimewaan dan kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada mereka. 

"Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy, (iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim sejuk dan musim panas. Maka hendaklah mereka meyembah Tuhan (pemilik) rumah ini (Kaabah), yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada rasa ketakutan." 
[Quraisy, 106: 1-4] 

Para mufassirin sependapat bahawa 'berpergian pada musim panas' yang disebut di dalam surah ini adalah merujuk kepada kebiasaan orang-orang Quraisy yang pergi berdagang ke Syam pada musim panas. Sememangnya Syam cukup sinonim sebagai sebuah kota perdagangan kerana kedudukannya yang cukup strategik. Malah sekiranya anda masih ingat, dalam peristiwa perang Badr, Abu Sufyan telah menjual seluruh harta-benda umat Islam yang meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah, di Syam.

Di zaman Khilafah Bani Umayyah, kota Damsyik yang terletak di Syria dijadikan pusat pemerintahan para khalifah ketika itu, menggantikan Madinah. Kedudukan Damsyik sebagai tempat bersemayamnya khalifah ummah ini kekal sehinggalah kejatuhan Umayyah dan digantikan dengan 'Abbasiyyah yang menjadikan Baghdad sebagai pusat pemerintahan mereka. 
Masjid Umayyah, Damsyik: Manifestasi kegemilangan Khilafah Umayyah

Laju ke hadapan, selepas Perang Dunia Pertama di mana dunia menyaksikan berakhirnya sistem khilafah Islamiyyah secara rasminya di Turki pada 1924, Syria telah menjadi tanah jajahan Perancis. Setelah berlakunya pergolakan politik yang cukup meriah lagi rumit (Oh percayalah, anda tidak mahu tahu-menahu tentangnya!), akhirnya Syria mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1946. 

Pada tahun 1970, Hafez al-Assad (bapa kepada Bashar al-Assad) telah merampas kuasa melalui bantuan partinya, Parti Baath. Hafez telah memerintah secara autokratik, bengis dan kejam sehinggalah kematiannya pada tahun 2000.

Era Pemerintahan Hafez al-Assad 

Hafez al-Assad akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai seorang pemimpin zalim yang sentiasa dahagakan darah para pejuang Islam yang menentang tampuk pemerintahannya. Berasal dari latar belakang Syiah Alawi, yakni Syiah yang dianggap sesat dan merupakan golongan minoriti di Syria (kurang lebih 6% daripada jumlah penduduk keseluruhan), Hafez mengamalkan polisi diskriminasi apabila menaikkan dan melantik para pemimpin kerajaan daripada ahli keluarganya yang terdekat dan di kalangan kaum Syiah Alawi. 

Parti Baath yang dipimpin Hafez adalah sebuah parti sekular da menjalankan pemerintahan secara diktator apabila pemilihan Presiden dilaksanakan secara referendum dan bukan pemilihan secara demokratik. Maka tidak hairanlah sentiasa berlaku protes dan penentangan demi penentangan ke atas pemerintahan Hafez. Dan Hafez bertindak pantas dengan menghapuskan para penentangnya sama ada dengan cara penangkapan, penyeksaan mahupon pembunuhan. Hafez tampaknya tidak pernah ragu-ragu untuk menghapuskan sebarang bentuk ancaman ke atas dirinya.

Kemuncak kekejaman Hafez berlaku pada tahun 1982, apabila Hafez mengarahkan ketumbukan tentera Syria untuk menghapuskan kebangkitan Ikhwanul Muslimin di Syria yang berpusat di kota Hama. Ikhwan yang bangkit akibat tidak lagi tertahan dengan penindasan yang dilakukan oleh rejim Hafez, menjadikan Hama sebagai pusat operasi gerak kerja mereka. Gerakan mereka tampaknya membuahkan hasil apabila semakin ramai yang bangkit menentang kekejaman Hafez.

Hafez yang menyedari bahaya ancaman Ikhwan ini, dengan penuh berang mengarahkan agar kota Hama dibom dan para pejuang Ikhwah diburu hingga ke lubang cacing. Akibatnya puluhan ribu (ada yang menganggarkan kira-kira 46,000 ribu!) pejuang Islam gugur syahid di tangan Hafez dan konco-konconya. Sebahagian besar daripada yang syahid ini adalah penganut Ahlul Sunnah wal Jamaah. Selepas peristiwa ini, Hafez mengharamkan Ikhwanul Muslimin. Malah sesiapa yang menyertainya akan dihukum bunuh!

Hafez juga terkenal dengan penglibatannya dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin! Walaupon media Syria menggambarkan Hafez sebagai pembela nasib rakyat Palestin, anda semua sila jangan tertipu dengannya hey!  Penglibatan Hafez dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di kem pelarian Tel Al-Zaatar tidak dapat dinafikan lagi. Choyyy. Begitu juga dengan hakikat bahawa Bukit Golan yang diduduki oleh Zionis laknatullah dan terletak hanya beberapa kilometer dari Damsyik, tidak pernah diganggu-gugat, dijentik pon tidak oleh Hafez. Walhal Hafez dengan penuh riang rianya menumpahkan darah umat Islam, rakyat negaranya sendiri!


Era Pemerintahan Bashar al-Assad

Naiknya Bashar al-Assad ke taktha pemerintahan Firaun Syria adalah tidak dirancang sebenarnya. Pada mulanya, Hafez telah pon melatih anak lelaki sulungnya, Bassel al-Assad untuk menggantikannya. Namun, takdir Allah menentukan segalanya apabila Bassel mati dalam suatu tragedi kemalangan jalan raya.


Bashar yang ketika itu sedang menuntut di Kerajaan Bersatu dalam bidang perubatan mata dipanggil pulang untuk menggantikan vakum yang ditinggalkan Bassel. Bashar, yang merupakan seorang yang pendiam dan kurang dikenali, mula diberikan tugas, amanah dan kedudukan dalam pasukan tentera dan rejim Syria.

Selepas kematian bapanya pada tahun 2000 akibat paru-paru berair, Bashar dilantik menjadi Presiden Syria yang baru tanpa sebarang tentangan. Bashar dilihat sebagai Presiden yang popular kerana mewakili anak muda Syria dalam membawa reformasi dan perubahan pada Syria (dia dilantik menjadi Presiden ketika berusia 34 tahun). Malangnya, reformasi dan perubahan ini tidak diterjemahkan dalam erti kata yang sebenar, dan akhirnya rakyat Syria bangkit bagi menentang penindasan rejim Bashar al-Assad.

Revolusi Rakyat Syria

Mungkin tak ramai yang tahu punca sebenar kebangkitan rakyat Syria kerana macam mana nak tahu kalau hari-hari baca Utusan Online atau Metro sahaja *koff koff*. Peristiwa yang mencetuskan kepada kebangkitan rakyat tidaklah seromantik kejadian yang mencetuskan revolusi di Tunisia misalnya, apabila Mohamed Bouazizi membakar dirinya hidup-hidup. Tetapi ia cukup signifikan untuk membangkitkan kemarahan rakyat Syria hingga menyebabkan satu-persatu domino jatuh menyembah bumi (Baca: Teori domino dan bukannya pizza Domino's itu tahu..?).

Semuanya bermula apabila sekumpulan kanak-kanak di sebuah tadika yang menconteng dinding tadika mereka dengan tulisan, "Kami Mahu Jatuhkan Kerajaan!" Apabila perkara ini diketahui oleh anjing-anjing Bashar, kanak-kanak ini ditangkap dan diseksa, antaranya dengan mencabut kuku-kuku mereka! Malah ada yang mati akibat seksaan keras yang dikenakan terhadap mereka. Bayangkan kanak-kanak tadika yang masih belum kenal pon erti kehidupan yang sebenar dilayan sebegitu rupa!

Apabila ibu bapa dan ahli keluarga kanak-kanak tersebut pergi untuk menuntut agar dibebaskan anak-anak mereka, permintaan mereka ditolak dengan keras. Malah, mereka diludah pula dengan kata-kata keji,

"Kamu balik sahajalah. Lupakan anak-anak kamu dan anggaplah mereka telah tiada. Jika kamu hendak anak-anak lagi, berikan kepada kami isteri-isteri kami (untuk kami rogol); hasil daripada itulah anak-anak kamu!"

Terasa mahu beri pelempang Jepun tiga ratus enam puluh darjah secara percuma bukan..?

Rentetan kekurangajaran mereka itu, rakyat menjadi berang dan sedikit demi sedikit, kemarahan mereka itu merebak pula ke seluruh Syria. Daripada ratusan, menjadi ribuan dan akhirnya bertukar menjadi kebangkitan jutaan rakyat Syria! Menariknya, kebangkitan rakyat Syria dipelopori oleh mereka yang berfahaman Ahlul Sunnah wal Jamaah, menjadikan revolusi ini seolah-olah kebangkitan Sunni menentang Syiah.

Ya, bunyinya seperti tidak terpercaya bukan? Seolah-olahnya anda sedang membaca hikayat dongeng yang diperdengarkan kepada anda sewaktu kecil dahulu sebelum hendak tidur. Dan anda menjangkakan pastilah pengkakhiran cerita dongeng ini akan disudahi dengan kehidupan gembira selama-lamanya (Baca: Happily ever after). Macam tidak logik pula kebangkitan rakyat secara besar-besaran dicetuskan oleh kanak-kanak tadika yang tidak berdosa. Tetapi itulah hakikatnya. Dan pastikan anda telan dan hadam fakta ini betul-betul kerana begitu banyak dakyah dan fitnah disebarkan di luar sana bagi mengelirukan umat Islam dan dunia tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Of kos, peristiwa di tadika itu hanyalah pencetus dan bukannya faktor penyebab kepada revolusi Syria. Maknanya, rakyat Syria selama ini ibaratnya gunung berapi yang terpendam lama, hanya menunggu masa yang sesuai untuk meletus. Pastinya rakyat sudah lama memendam rasa dengan penindasan yang dilakukan oleh rejim Bashar, ditambah pula dengan sikap berat sebelahnya terhadap kaum Syiah Alawi. Menarik sekali apabila dibuat perbandingan, apa yang berlaku di Syria sekarang ini tidak jauh bezanya dengan layanan kerajaan Saddam Hussein di Iraq dahulu terhadap kaum Syiah minoriti di sana. Akhirnya, peristiwa kanak-kanak tadika yang diseksa itu telah menyebabkan rakyat meletup, bangkit menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan mereka.

Kebangkitan rakyat Syria pada mulanya dipandang enteng oleh rejim Bashar. Mereka menyangkakan yang kemarahan dan protes yang dicetuskan oleh rakyat itu hanyalah warm warm chicken shit sahaja. Mereka silap. Hari demi hari, kebangkitan rakyat semakin menular dengan begitu pantas. Kebangkitan rakyat amat berapi dan mata bersinar-sinar terutamanya di Homs, Hama, Deera dan Doma, menyebabkan Bashar dan konco-konconya panas punggung dan berpeluh tengkuk. Tidak disangka Bashar, kepemimpinannya suatu hari nanti akan dicabar dan dibenci.

Arakian Bashar dan anjing-anjingnya mengambil keputusan untuk mengikuti jejak bapanya dengan menghapuskan segala ancaman yang wujud terhadap pemerintahannya dengan apa cara sekalippon. Dasar bapa borek, anak rintik! Orang awam yang menyertai protes ditembak tanpa rasa kasihan. Aktivis-aktivis kebangkitan dicari, dikejar sehingga ke lubang cacing, ditangkap di tengah malam dan diseksa atau dibunuh.

Kekejaman dan kezaliman Bashar bukan satu dongengan. Bukan satu rekaan untuk memburukkan reputasinya yang sudah pon sedia tercalar. Ia direkodkan dengan baik dan teliti sekali, baik melalu testimoni mereka yang terselamat dan askar-askar yang belot melarikan diri daripada Bashar, atau melalui rakaman video dan gambar yang sempat diambil oleh para saksi.

Antara video yang amat menggugah jiwa adalah apabila rakyat Syria dipaksa untuk menyebut 'Laila ha illa Bashar!' atau 'Tiada sembahan selain Bashar!' Astaghfirullah..  Dan mereka yang enggan menyebutnya akan dirobek mulut mereka, sehingga hilang bahagian rahang bawah mereka (gambar ini sudah tersebar dengan banyaknya di MukuBuku; menggeletar juga lutut saya menyaksikannya). La hawla wa quwwata illa billah..

Celakalah kau wahai Bashar! Tiada Tuhan, Ilah atau Raja yang layak disembah melainkan Allah dan Allah sahajalah! Mahukah dikau mendapat kemurkaan dan seksaan sepertimana yang Allah turunkan kepada Firaun laknatullahi 'alaih..??

Ok emo sekejap di situ. 

Belum lagi dihitung kekejaman dan kezaliman yang lain yang dilakukan Bashar dan anjing-anjingnya. Misalnya, nasib yang menimpa seorang gadis sunti, Zainab al-Husni, 23 tahun, yang dikerat empat dan dicampak mayatnya di hadapan rumah keluarganya, semata-mata kerana dia melawan kerana tidak mahu dirobek daranya oleh tentera Bashar laknatullah. Belum lagi dikira nasib 19 orang doktor dan dan 40 orang pesakit di sebuah hospital di Doma yang dibunuh dengan kejam oleh anjing-anjing Bashar. Allahu Akbar! Moga Allah mengurniakan syahid kepada kalian semua! Kalian tuntutlah di hadapan mahkamah Allah yang Maha Agung lagi Adil di Mashyar kelak; Dia pasti tidak akan mengecewakan kalian!

Sehingga kini, sudah ribuan nyawa yang gugur sejak revolusi Syria tercetus setahun yang lalu (angka sebenar tidak dapat dipastikan; pokoknya cukup ramai!). Lebih banyak nyawa akan tergadai dek ketegasan dan kedegilan Bashar untuk menamatkan kebangkitan ini dengan cara apa sekalipon.

Dunia terus menyaksikan dan bertepuk tangan gembira dengan apa yang berlaku. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kekal dungu dan menjadi boneka kuffar, apabila Russia dan China, dua ahli tetap Majlis Keselamatan menggunakan veto mereka untuk menolak sebarang usul untuk mengenakan tindakan terhadap rejim Syria. Iran dan Hizbullah pula terus memberikan sokongan, sama ada secara terang-terangan atau di belakang tabir terhadap rejim Bashar. Diceritakan juga bagaimana Hizbullah menghantar tentera elit dan komando mereka ke Syria untuk membantu Bashar menamatkan riwayat revolusi ini.

Terbaru, email-email Bashar, isterinya Asma, ayah mertuanya yang berpengkalan di London dan beberapa orang lagi konco dan kroni telah tersebar luas di media. Hasil selusup masuk sejak berbulan-bulan berjaya mendedahkan kekorupan dan pengkhianatan Bashar dan para penyokong tegarnya. Bagaimana di tengah-tengah krisis yang melanda, Bashar dan orang-orang kanannya boleh berjenaka bersahaja dengan apa yang sedang menimpa rakyat Syria, malah tidak mengambil seriyes langsung dengan krisis kemanusiaan yang berlaku. Diperlihatkan juga bagaimana Bashar dan isterinya Asma dengan selamba badak membeli-belah atas talian dengan riang gembiranya melalui laman-laman membeli-belah yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Begitu juga nasihat yang diberikan oleh bapa mertuanya, yang menyarankan agar Bashar mencipta helah dan alasan untuk menutup kezalimannya terhadap rakyatnya sendiri.

Hallo melloww...?? Bangkai gajah lagikan hendak ditutup..??

Di sebalik kekejaman dan penindasan yang dilakukan Bashar ke atas rakyatnya sendiri, amat mengagumkan dan mengharukan apabila melihat semangat rakyat Syria yang tidak pernah padam. Mereka begitu yakin dengan janji Allah, barangsiapa yang bersungguh-sungguh berjihad di jalanNya, pasti Dia akan menunjukkan jalan keluar. Mereka begitu yakin yang suatu hari nanti, Bashar dan rejimnya akan berjaya juga ditumbangkan. Cepat atau lambat, itu bukan persoalannya. Yang lebih penting, mereka semua bersatu, berjihad untuk melawan kekejaman rejim Bashar. Menaikkan bulu roma juga apabila menonton video-video kebangkitan mereka ini, yang membuktikan betapa bersemangatnya mereka dengan perjuangan ini. Masih terngiang-ngiang laungan keramat mereka:

"Siapa yg beri kemenangan?? Obama? Erdogan? Sarkozy?? Allah! KEMENANGAN ITU MILIK ALLAH!"

Kebebasan untuk Syria! Kezaliman mesti ditumbangkan! [Kredit]

Persoalan saya untuk diri sendiri dan anda semua; mengapakah ummah ini boleh diperlakukan sebegitu rupa oleh Bashar al-Assad dan konco-konconya..?? Begitu hinakah deen dan ummah ini??? Di manakah khalifah mukminin yang sepatutnya menjadi perisai kepada kita semua...??

  
Syria: Mengapa Kita Perlu Peduli

Dalam sebuah hadith, ar-Rasul SAW menyatakan:

"Kamu akan lihat orang Islam dalam kasih sayang mereka, lemah-lembut mereka dan kasihan belas mereka umpama seperti tubuh badan, jika ada anggota badan yang mengadu sakit, maka seluruh anggota badan yang lain turut merasainya dengan sakit demam dan berjaga malam." 
[Riwayat Bukhari]

Ini bukan krisis rakyat Syria sahaja. Bukan juga krisis negara-negara Arab, walaupon merekalah yang sepatutnya bangkit menghulurkan bantuan dahulu atas faktor geografi dan kelebihan yang ada pada mereka.

Tetapi ini adalah isu ummah. Krisis ummah. Maka ia perlu ditangani secara bersama-sama.

Sabda Rasulullah SAW lagi:

"Tidak beriman seseorang di kalangan kamu sehingga dia mengaisi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri."
[Riwayat Bukhari]

Bayangkan kalau kita berada di situasi yang sama. Nau'dzubillah.. Pastilah kita mengharapkan saudara-saudara kita di Indonesia, Thailand, India malah jauh nun di Afrika Selatan sana, untuk menghulurkan bantuan bukan..? Malah sedikit simpati dan empati, menyertai demonstrasi di jalanan untuk menunjukkan sokongan mereka kepada kita dan apa-apa sahaja yang boleh menaikkan semangat kita, pastilah amat kita hargai.

Mereka adalah saudara seIslam kita. Hubungan yang paling suci adalah hubungan yang dijalinkan dengan aqidah, dan bukannya darah, bukannya bangsa apatah lagi parti politik angkat keris. Eh. Kalau bukan kita yang mahu bangkit membela mereka, takkanlah kita mengharapkan Obama, Netanyahu atau Samy Vellu pula...?


Apa Yang Boleh Dan Perlu Untuk Kita Lakukan?

"Tapi Inche gabbana... Syria dan Malaysia, jaraknya ribuan batu! Macam mana nak bantu..?"

"Ala, orang Syria bukan perlu apa-apa pon bantuan daripada kita. Entah-entah mereka tak tahu pon Malaysia tu apa!" 

"Tiada apa yang boleh kita bantu melainkan doa. Berdoa sahajalah, mudah-mudahan Allah selamatkan mereka." 

Err.. Alasan yang sama anda berikan untuk krisis yang berlaku di Palestin. Dan juga Chechnya. Dan juga Kashmir. Dan juga Sudan. Dan semua-semualah krisis yang melbiatkan saudara seIslam kita. Aduhai.

Hakikatnya, banyak benda yang boleh kita lakukan secara langsung atau tidak, bagi menunjukkan bahawa kita bersama-sama rakyat Syria keseluruhannya dalam menentang kezaliman rejim Bashar al-Assad.

Mari kita senaraikan apa yang boleh dan perlu kita lakukan, yang sudah semestinya berada dalam lingkungan kemampuan kita:
  1. Sentiasa mengikuti perkembangan terbaru yang berlaku di Syria. Jangan pernah rasa bosan dengannya.
  2. Tulis surat atau dinding atau kicauan kepada rakan-rakan Syria anda (Sekiranya anda, kalau tiada bolehlah cari! Wah!) memberikan kata-kata semangat dan pendorong
  3. Tulis surat atau email kepada kedutaan Syria di Malaysia, menyatakan bangkangan dan protes anda terhadap kekejaman Bashar. Anda boleh ke laman sesawang kedutaan Syria untuk melakukannya atau boleh juga terus ke sini. Mari lancarkan perang email terhadap mereka!
  4. Sertai demonstrasi aman seperti yang telah saya lakukan minggu lepas *koff koff rugi wile weh sapa tak pergi koff koff seriyes rugi koff koff*, tunjukkan solidariti anda kepada rakyat Syria. Percayalah, mereka menyaksikannya.
  5. Kongsikan video-video atau artikel-artikel yang berkaitan dengan revolusi Syria di laman MukaBuku atau Pengicau anda. Sebarkan berita sebenar tentang apa yang berlaku Syria supaya tak jadi macam mamat Zainuddin Maidin sorang ni. Hohoho.. (Awas! Jangan sebarkan gambar-gambar yang menakutkan lagi mengerikan! Tak tidur malam nanti dibuatnya!)
  6. Jangan lupa terus mendoakan saudara-saudara kita di sana. Yakinlah yang doa itu senjata bagi orang Mukmin! Yakin juga yang suatu hari nanti pasti Allah akan kurniakan kemenangan kepada mereka, samalah seperti yang berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya!
  7. Teruskan mentarbiyah diri dan orang di sekitar anda menjadi individu Muslim sejati. Kerana hanya mereka yang benar-benar faham erti menjadi seorang Muslim, boleh menjiwai kepentingan memperjuangkan nasib saudara seaqidah!
Ha, kan macam-macam yang boleh kita lakukan tu..? Senyum kenyit mata.
Sekitar demo Syria yang saya sertai tempoh hari. Sungguh bersemangat anak-anak muda kita! Allahu Akbar! [Kredit: Kamera saya sendiri okayh..? Tak main la cilok dari orang lain! Wahahaha. ;p]

Lagi gambar demo.

Akhawat pon bersemangat! Hoyeeaahh!

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, mungkin kita merasakan yang usaha kita yang kecil dan tidak seberapa ini tidak memberikan apa-apa kesan kepada revolusi rakyat nun di Syria sana nun. Apatah lagi untuk menumbangkan rejim Bashar yang maha zalim itu. Tetapi siapa tahu dan dapat menjangkakan, dengan beraraknya kita, dengan laungan takbir dan kata-kata semangat kita dan dengan doa-doa penuh keikhlasan yang kita lafazkan untuk saudara-saudara kita di sana, ia sebenarnya memberikan kekuatan kepada mereka semua untuk meneruskan pengorbanan dan perjuangan mereka..? 

Dan yang lebih mengalirkan peluh besar adalah, dakwaan-dakwaan yang bakal dikemukakan oleh mereka yang terkorban hasil kekejaman Bashar terhadap kita di mahkamah Allah nanti. Apa yang telah kau lakukan? Mengapa kau hanya duduk selesa di atas sofa menonton drama Korea tanpa mempedulikan nasib aku di Syria?? Sanggup kau biarkan Bashar dan anjing-anjingnya bermaharajalela dan berbuat sesuka hati mereka..?? Di mana kau ketika aku amat memerlukanmu...??

Gulp.

Ingat, ini bukan perjuangan rakyat Syria semata-mata. Ini perjuangan kita bersama. Ini perjuangan dan jihad menentang kezaliman dan membebaskan saudara seaqidah kita daripada cengkaman penindasan dan kekejaman!

Ayuh!

"Allah! Suriah! Huriah! Wa bass! Allahu Akbar!"

Credit to APG!

Sunday, March 18, 2012

Kehidupan: Sakit itu satu nikmat



Kadangkala dalam perjalanan kehidupan ini, manusia jatuh sakit.

Allah ujinya dengan kesakitan.

Kadangkala manusia hanya tidak perasan,
Allah sedang memberikan kepadaNya titik perhentian untuk bermuhasabah.

Sungguh sebenarnya, sakit itu nikmat.


Nikmat Peringatan

Kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia. Dinamakan manusia kerana fitrah manusia adalah pelupa. Ada antara kita berilmu luas, ada pula antara kita harta melaut, ada pula kita kebolehan tak tertanding, dan 1001 nikmat lagi. Tetapi dengan sakit, semuanya itu seakan tidak berguna langsung. Yang kita mahu adalah sihat.

Ketika itu kita akan tersedar. Kalau ilmu, harta, kebolehan dan kebanyakan nikmat material lain kadangkala boleh menjauhkan kita daripada Allah SWT apabila disertai bongkak, angkuh, riya’ dan sebagainya, sakit membuatkan kita beringat.

Kadangkala kita akan terfikir, apakah yang telah kita lakukan atas tubuh kita yang sihat sebelum ini? Kadangkala kita akan teringat, perbuatan-perbuatan kita yang tidak sepatutnya kita buat semasa kita sihat.

Ada pepatah berkata:

“Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan”

Sakit, mampu menjadikan kita beringat. Seakan-akan bila kita sakit, Allah SWT berbisik kepada kita:
“Sesungguhnya Aku mampu menarik nikmatKu bila-bila masa sahaja”


Maka wajiblah kita memperingatkan diri

Allah SWT berfirman:

“Demi Sesungguhnya , Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan brikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar” Surah Al-Baqarah ayat 155.

“Dan patutkah mereka tidak mahu memerhatikan, bahawa mereka diuji, pada setiap tahun, sekali atau dua kali(paling kurang), kemudian mereka tetap juga tidak bertaubat dan tidak juga mereka mahu mengingat?” Surah At-Tawbah ayat 126.

“Alangkah baiknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri(taubat dan insaf) ketika mereka ditimpakan azab Kami?…” Surah Al-An’am ayat 43.

“Tidak ada satu kesusahan, yang menimpa di bumi dan juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia diadakan di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya yang mengadakan demikian(kesakitan, cubaan, bencana) itu, adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati dengan apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu tidak bongkak dengan apa yang ada pada diri kamu, dan ingatlah bahawa Allah tidak suka pada setiap mereka yang takabbur lagi membanggakan diri” Surah Al-Hadid ayat 22-23.

Tiadalah sakit-sakit ini menimpa kita, tiadalah bencana itu ini menyentuh kita, melainkan ada hikmahnya. Allah ingin kita kembali mengingati-Nya, bergerak ke arah-Nya, muhasabah kembali kehidupan kita.

Sakit adalah petanda bahawa kita adalah manusia.

Ya, manusia yang lemah. Sebagai yang lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita. Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa kita hakikatnya langsung tidak patut mendongak bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT.


Penutup: Maka bersyukurlah atas nikmat ini 

Jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa, dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan.

Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah hakikatnya sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?

Tetapi bagaimana kita melayan sakit kita? Bagaimana kita berhadapan dengannya?

Ada antara kita menyumpah Allah kerana menyukarkan kehidupan kita.

Namun Allah SWT berfirman:

“Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu” Surah Asy-Syura ayat 30.

MasyaAllah… sudahlah segala bencana, sakit, adalah disebabkan oleh kita – tak jaga kesihatan, buat makar, buat onar, dll – tetapi Allah ampunkan sebahagian besar dosa kita atas bencana yang datangnya kerana kita.

Bukankah kita sentiasa mendegar: Sakit itu kaffarah dosa?

Di sini kita muhasabah kembali kehidupan kita.

Sakit itu nikmat, yang tidak boleh kita biarkan ia berlalu sia-sia.



Again and again. Thanks a lot bro Hilal Asyraf.

Wednesday, March 14, 2012

Himmah : Di Mana Mencari Ketenangan ?


Kita semua berhajat kepada ketenangan. Kadang-kadang seharian disibukkan dengan pekerjaan, pelajaran dan sebagainya, maka ketenangan adalah ubat kepada semua kekalutan yang telah kita hadapi sepanjang hari.

Tetapi, bagaimanakah mendapatkan ketenangan?

Ada orang mencari ketenangan dengan dengan berhibur di disko-disko dan di kelab malam. Ada orang mencari ketenangan dengan dadah.

Disangkanya dengan dadah, mampu memberi ketenangan hakiki kepada dia.
Bahkan, kalau kita perhatikan, bagaimanakah ‘mat saleh’ dan ‘minah saleh’ mendapatkan ketenangan untuk diri mereka?

Mereka akan mencari dan menjelajah hutan-hutan yang ada pokok-pokok hijau. Kenapa?
Kerana di situ, mereka dapatkan ketenangan yang mereka hajati. Jauh dari hiruk-pikuk kesibukan dunia, serta jauh dari segala kesibukan pekerjaan dan kehidupan.


KETENANGAN YANG SEBENAR, DI MANAKAH?
Mereka yang mencari ketenangan dari alam, berjumpakah mereka dengan apa yang mereka inginkan?

Mereka yang mencari ketenangan dari sudut negatif, melalui dadah dan kelab-kelab hiburan, adakah bertemu dengan apa yang mereka mahukan?

Ya. Memang mereka akan bertemu ketenangan.

Tetapi, itu adalah ketenangan yang sementara sahaja.

Mereka keluar dari hiruk-pikuk kesibukan, untuk mendapatkan ketenangan buat seketika. Nanti, mereka akan kembali semula ke tempat yang penuh dengan kekalutan dan kesibukan itu, dan akan berhadapan semula dengan semua itu.

Maka, ketika itu, berhasilkah ketenangan yang mereka dapatkan dari semua tempat-tempat itu?
Tidak. Waktu itu, ketenangan yang mereka dapatkan sewaktu di tempat-tempat begitu sudah tidak mampu menenangkan mereka lagi ketika mereka dilanda keserabutan dan kekalutan di tempat-tempat kerja dan belajar mereka.

Lalu, di manakah kita akan dapatkan ketenangan yang hakiki?


HANYA DENGAN MENGINGATI ALLAH, HATI AKAN MENJADI TENANG
Tidak perlu pergi jauh. Ketenangan sebenarnya sudah ada terlalu begitu dekat dengan kita. Di manakah?

Renunglah firman Allah s.w.t. :

“Hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.”[Ar-Ra’d : 28]

Ketenangan hakiki itu sebenarnya ada pada Allah s.w.t. Dan Allah itu, terlalu hampir dengan kita. Bahkan, terlalu hampirnya Allah s.w.t. sehingga digambarkan dalam satu lagi firman-Nya :

“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”[Qaf : 16]

Maka, kenapa kita mencari ketenangan dari selain Dia? Alam ini dan segala isinya, bukankah semuanya itu adalah ciptaan dari Allah s.w.t.

Lalu, kenapa kita perlu mencari ketenangan dari makhluk-Nya ketika Dia sendiri mampu untuk menenangkan dan membahagiakan kita?


KAJIAN SAINTIFIK BAHKAN TELAH MEMBUKTIKAN
Kalau kita masih ingat, ada satu kajian sains pernah dilakukan suatu ketika dahulu terhadap kesan bacaan di mulut kita kepada zarah-zarah dalam air.

Dilakukan perbandingan antara dua bacaan terhadap air yang sama jenisnya. Orang yang pertama adalah orang Islam membacakan ayat kursi, ayat yang ada nama Allah pada air itu. Manakala orang kedua adalah orang Cina yang membacakan mantera-manteranya pada air itu.

Setelah dikaji, didapati air yang dibacakan dengan ayat kursi tadi itu, zarah-zarahnya berubah menjadi bentuk sepeti batu permata yang begitu cantik dan bersinar. Tetapi, air yang dibacakan dengan mantera-mantera itu tadi, zarah-zarahnya berubah menjadi begitu hodoh sekali.

Maka, di sini kita dapat melihat kesannya, bahawa kalau dengan mengingati Allah sahaja sudah cukup untuk membuatkan hati air itu berubah molekulnya menjadi cantik, maka hati kita lebih lagilah daripada itu.

Kita mencari ketenangan selain Dia, sebenarnya bukan menambah tenang pada hati kita, bahkan kita sebenarnya telah menambahkan lagi keserabutan pada jiwa kita.


PENUTUP : REBUTLAH KETENANGAN YANG KEKAL DI MANA DAN BILA-BILA PUN
Sentiasa ingat kepada Allah itu, adalah ubat kepada segala kesibukan dan keserabutan yang melanda kita. Bila kita ingat kepada-Nya, maka ia akan memberi kita ketenangan yang tidak ada tandingannya.

Lihatlah para sahabat Nabi s.a.w. Ada satu peristiwa, ketika mana seorang sahabat telah dipanah semasa ia sedang solat. Tetapi, dalam keadaan telah dipanah itupun, kaki telah luka dan berdarah, ia tetap teruskan solat seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Kenapa? Kerana ia telah berjumpa dengan ketenangan yang sebenar.

Mencari ketenangan daripada selain Dia, semuanya cuma bersifat sementara. Hari ini, mungkin tenang. Hari esok, kita tidak tahu apakah kita akan menghadapi hari dengan baik.

Tetapi, bila kita mencari ketenangan daripada Dia, maka kita sangat-sangat pasti, kita akan dapat menghadapi hari-hari esok dengan lebih baik kerana kita tahu, Allah sentiasa menemani kita.

Kalau hendakkan ketenangan dalam segala kesibukan yang kita ada, maka segeralah merapat kepada-Nya.

Sudahkah anda merapat kepada-Nya hari ini?

sumber : langitIlahi